NS beri tambahan sebulan pengecualian sewa premis, PPR
SEREMBAN - Penyewa premis dan kediaman di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan mendapat pengecualian bayaran sewa selama sebulan lagi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebelum ini pengecualian bayaran sewa diberikan bagi tempoh dua bulan sahaja iaitu Mac dan April, namun kini ditambah sebulan lagi sehingga Mei.
Menurutnya, antara premis terbabit termasuk gerai-gerai PBT, Pasar Besar Seremban dan Rumah Pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR).
"Pengecualian sewa premis dan kediaman ini membabitkan peruntukan sebanyak RM1 juta, bermakna kekurangan pendapatan kepada kerajaan negeri selama tiga bulan.
"Walau bagaimanapun, kita tetap beri pengecualian ini bagi membantu meringankan beban penyewa yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bilik Gerakan Wisma Negeri di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, lebih banyak pasar malam dan pasar pagi akan dibuka jika semua pihak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Beliau berkata, peniaga dan pengunjung perlu mematuhi SOP ditetapkan, terutama penjarakan sosial dan penggunaan pelitup muka bagi mengekang jangkitan penularan wabak koronavirus.
"Kita berharap semua pihak yang terbabit iaitu penganjur, peniaga dan pengunjung pasar malam memberikan kerjasama dengan mematuhi SOP ditetapkan dengan sepenuhnya.
"Kita ada terima aduan mengenai kebimbangan masyarakat untuk berkunjung ke pasar malam kerana ada yang tidak ikut SOP, jadi saya minta semua peniaga dan pihak terlibat sentiasa mengutamakan SOP yang ditetapkan dengan sempurna tanpa gagal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!