Ibadah korban yang terbaik

Gambar hiasan -Foto Bernama
Gambar hiasan -Foto Bernama
A
A
A

DALAM Surah al-Hajj ayat 37, ALLAH berfirman yang bermaksud: “Daging dan darah haiwan korban itu tidak akan sampai kepada ALLAH, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa daripada kamu.”

Kandungan firman ALLAH di atas adalah berkaitan dengan ibadah korban. Ibadah korban merupakan satu ibadah yang disunatkan kepada umat Islam untuk melakukannya pada bulan Zulhijjah iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Mulai bulan Syawal, iklan-iklan daripada pelbagai pihak yang mempelawa umat Islam untuk melakukan ibadah korban mula tersebar. Ada yang mengajak mereka melakukan ibadah korban di tanah air sendiri dan ada juga yang melibatkan ibadat korban di luar negara seperti di Palestin, Kemboja dan sebagainya. Maklumlah, dalam tempoh lebih kurang sebulan lagi, kita akan menyambut Aildiladha.

Kewujudan tawaran ibadah korban di luar negara membuatkan orang ramai tertanya-tanya tentang ibadah korban. Di manakah tempat yang lebih baik atau afdal untuk mereka lakukan ibadah korban sebenarnya?

Untuk menjawab soalan ini, marilah kita sama-sama menelusuri beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang memperkatakan tentang ibadah korban.Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim dinyatakan bahawa: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kibash berwarna putih yang bertanduk (sebagai korban) dengan tangannya sendiri, sambil Baginda menyebut nama ALLAH dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibash tersebut.”

Hadis itu menjelaskan bahawa Rasulullah SAW menyembelih sendiri binatang korbannya.Dalam hadis riwayat al-Hakim dikhabarkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan haiwan korban kamu dan saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang terdahulu.”

Hadis di atas mengandungi saranan kepada orang yang melakukan ibadah korban supaya menyaksikan atau melihat sendiri sembelihan binatang korban sekiranya dia tidak mampu melakukan sendiri sembelihan tersebut. Ini kerana dengan titisan darah binatang korban yang pertama akan diampunkan dosa terdahulu pihak yang melakukan ibadah korban.

Dalam Surah al-Hajj ayat 36, dapat difahami bahawa orang yang melakukan ibadah korban adalah digalakkan untuk mengagihkan sendiri daging korban kepada penduduk setempat. Pengagihan sendiri itu dikira sebagai tanda pihak tersebut menghidupkan syiar Islam dan menzahirkannya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis-hadis di atas, dapat dirumuskan bahawa ibadat korban yang terbaik adalah yang memenuhi ciri-ciri berikut:

1. Binatang korban itu disembelih sendiri oleh pihak yang melakukan ibadah korban;

2. Penyembelihan itu disaksikan sendiri oleh pihak yang melakukan ibadah korban ketika mana dia tidak mampu melakukan sendiri sembelihan tersebut; dan

3. Daging korban itu diagihkan sendiri oleh pihak yang melakukan ibadah korban.

Jika itulah ciri-ciri ibadah korban yang terbaik, ini bermakna ibadah korban yang dilakukan di tempat sendiri adalah lebih baik dan afdal. Ibadah korban di tempat lain tidak memungkinkan kita untuk menyembelih sendiri atau menyaksikan sembelihan yang dilakukan serta mengagihkan sendiri daging korban kepada penerimanya.

Akhir kalam, jika kita memilih untuk melakukan ibadah korban yang terbaik dan afdal, maka ikutlah seperti yang disarankan dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Bagaimanapun, ini tidaklah menafikan keharusan ibadah korban yang dilakukan di luar negara.

Dalam hal ini, terserah kepada kita untuk membuat keputusan sesuai dengan kemampuan kewangan dan kehendak kita. Yang penting semuanya dilakukan kerana ALLAH Taala. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!