Jangan pertikai penahanan tiga pemandu teksi bawa PATI: Bukit Aman
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa penahanan tiga pemandu teksi yang terlibat membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah berdasarkan kepada siasatan dan maklumat yang kukuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, aktiviti itu merupakan jenayah penyeludupan manusia yang menjadi ancaman besar kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
“Kita tidak pernah sewenang-wenangnya menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 (Sosma) ke atas mana-mana individu tanpa sebab dan alasan yang kukuh sepertimana yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Huzir berkata, kesemua pemandu teksi yang ditahan baru-baru ini merupakan individu yang terlibat dan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran secara berterusan dengan menggunakan teksi bagi menguruskan aktiviti keluar masuk migran secara haram.
“Dakwaan sesetengah pihak yang mempertikaikan penahanan pemandu-pemandu teksi berkenaan di bawah Akta Sosma adalah suatu tuduhan ‘mala fide’ yang berniat jahat untuk mencemarkan imej dan reputasi PDRM tanpa mengetahui fakta sebenar tentang penahanan mereka,” katanya.
Huzir turut menasihati pihak berkenaan untuk tidak campur tangan dalam siasatan yang masih dijalankan atau mereka akan berhadapan dengan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!