Mayat bayi lelaki ditemui terapung
KUALA NERUS - Mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui terapung di Pantai Pengkalan Maras, Batu Rakit petang tadi.
Mayat bayi malang itu ditemui orang awam yang memancing berhampiran pesisir pantai tersebut, kira-kira jam 3.30 petang sebelum memaklumkan penemuan kepada pihak polis.
Salah seorang peniaga, Rohayu Nazira Ngah, 37, berkata, dia yang baru hendak membuka kedai makannya yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi hanya mengetahui penemuan mayat itu selepas dikejutkan dengan kehadiran anggota polis dan orang ramai, kira-kira jam 3.30 petang.
"Pada mulanya saya memang tidak tahu apa-apa tetapi lepas ternampak situasi yang agak sibuk di sini dengan kehadiran anggota polis dan orang awam yang mula memenuhi kawasan ini, barulah saya tergerak hati untuk bertanya.
"Memang sangat terkejutlah selepas diberitahu ada beberapa orang yang memancing di sini jumpa mayat bayi lelaki terapung tetapi saya tidak sempat melihat keadaan mayat dimaksudkan kerana sudah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu," katanya ketika ditemui di lokasi.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung penemuan mayat bayi oleh orang awam.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan manakala mayat bayi itu akan dibedah siasat.
"Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!