Johor tambah baik sistem pembelian rumah

Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) di Iskandar Puteri. Gambar kecil; Ayub Jamil
Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) di Iskandar Puteri. Gambar kecil; Ayub Jamil
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang dalam usaha menyiapkan pelan tindakan bagi menambah baik proses pembelian dan permohonan unit rumah di bawah pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ayub Jamil berkata, pendekatan menyeluruh kepada proses permohonan akan diberikan perhatian bukan sahaja kepada Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ).

Katanya, kerajaan negeri sedar pemohon bagi unit-unit bumiputera ini perlu menunggu lama kerana berada dalam senarai menunggu.

Justeru katanya, bagi mengatasi permasalahan itu, sistem permohonan perumahan negeri (erumah.johor.gov.my) akan diperkemas dan dinaik taraf.

"Untuk sistem sedia ada, permohonan bagi pembelian rumah hanya maklumat peribadi dengan butiran kewangan tanpa penyata yang sah akan diambil. Pemohon kemudiannya diminta menghantar dokumen secara bertulis kepada SUKJ Bahagian Perumahan untuk proses dokumentasi dan menunggu sekiranya permohonan itu layak.

"Namun, dengan sistem yang akan dinaik taraf ini, pemohon dikehendaki mengemukakan dokumen berupa kad pengenalan, penyata gaji, penyata bank, penyata KWSP atau bukti lain yang boleh menyokong permohonan mereka," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, dokumen yang dikemukakan itu membolehkan semakan dibuat dari segi kelayakan pembeli sekali gus memastikan hanya pembeli yang serius dan layak akan dipertimbangkan permohonan mereka.

Selain itu menurut beliau, kerajaan negeri akan memperkenalkan inisiatif lain dalam memperluaskan pelaksanaan skim Rent to Own (RTO).

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, di peringkat Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, perbincangan bersama beberapa institusi bank sedang dijalankan berhubung gerak kerja pelaksanaan skim ini.

"Sedia maklum, program RTO ini pernah dilancarkan di bawah Program Jauhar Prihatin, Kumpulan Prasarana Negeri Johor (KPRJ) pada 2017," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!