'Kutipan cukai langsung 2018 berdasarkan sistem taksiran tahun semasa'

Menteri Kewangan Lim Guan Eng (depan dua, kiri) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (depan, kanan) ketika lawatan pada Majlis Perasmian Stesen Bawah Bukit Bendera Fasa 3 hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kewangan Lim Guan Eng (depan dua, kiri) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (depan, kanan) ketika lawatan pada Majlis Perasmian Stesen Bawah Bukit Bendera Fasa 3 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Peningkatan kutipan cukai langsung pada tahun lepas merupakan prestasi daripada kutipan 2018 berdasarkan taksiran dan perkembangan ekonomi yang berlaku pada tersebut, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau sekaligus menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa pencapaian itu dibuat berdasarkan taksiran ekonomi bagi 2017, tidak mencerminkan situasi semasa ekonomi atau tidak disumbangkan oleh pendekatan berkesan yang telah diperkenalkan Kerajaan PH sebaik sahaja mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

“Sebaliknya ia mencerminkan pengukuhan serta perkembangan ekonomi dan juga pengenalan tadbir urus kerajaan yang bersih berasaskan prinsip cekap, akauntabiliti, dan telus.

“Ini disokong lagi dengan prestasi kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang melebihi jangkaan sebanyak 34 peratus pada 2018, tahun pertama cukai ini diperkenalkan semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan akan terus bersikap telus dan jujur dalam membuat kenyataan mengenai keadaan ekonomi negara berpandukan fakta dan angka yang tepat.

Semalam, beliau mengumumkan prestasi kutipan kasar cukai langsung negara untuk 2018 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah meningkat sebanyak 11.13 peratus kepada RM137.035 bilion berbanding 2017.

Menurut Lim, berdasarkan sistem taksiran tahun semasa, cukai yang dibayar dalam suatu tahun, contohnya oleh syarikat bagi tahun 2018 adalah berdasarkan kepada anggaran cukai yang harus dibayar oleh sesebuah syarikat untuk pendapatan yang diterima dalam tahun sama.

Anggaran cukai yang harus dibayar bagi 2018 perlu dikemukakan kepada LHDN dalam tempoh 30 hari sebelum bermulanya tahun tersebut dan ansuran hendaklah dibayar sepanjang 2018 berdasarkan kepada anggaran cukai yang telah dibuat.

Artikel Berkaitan:

Kutipan cukai keuntungan harta tanah dan duti setem juga tidak berkaitan dengan situasi percukaian tahun sebelumnya, katanya.

“Ini adalah kerana cukai atau duti bagi pelupusan sesuatu aset dikenakan dalam tahun pelupusan itu dilakukan.

“Begitu juga duti setem terhadap instrumen atau perjanjian, duti akan dikenakan dalam tahun instrumen atau perjanjian itu dilaksanakan atau ditandatangani,” jelas beliau.

Bagi prestasi kutipan SST oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk 2018, Lim berkata kutipan bertambah 34 peratus kepada RM5.4 bilion, berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak RM4 bilion semasa SST dilaksanakan pada 1 Sept 2018.

Peningkatan itu berpunca daripada usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan khususnya dalam memberi kefahaman kepada peniaga melalui program keterlibatan yang diadakan di seluruh negara.

Sebanyak 18 sesi keterlibatan telah dianjurkan dan kesemua sesi ini turut dihadiri oleh Menteri Kewangan.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!