Presma sokong keputusan kerajaan
SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mengalu-alukan kelonggaran yang diberikan kerajaan kepada pengusaha premis makanan susulan tidak lagi mengehadkan jumlah pelanggan restoran kerana pelanggan dibenarkan duduk sekali berdasarkan saiz meja.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, kelonggaran baharu yang diberikan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) membolehkan jumlah pelanggan yang makan di premis ditingkatkan kepada sekitar 80 peratus sekali gus meningkatkan pendapatan pengusaha.
Menurutnya, jumlah pelanggan restoran yang dibenarkan makan dalam premis semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya sekitar 20 hingga 50 peratus kerana ia bergantung kepada saiz premis.
“Sebelum ini, kami pengusaha restoran berdepan masalah bila ada pelanggan yang datang dengan sebuah kereta besar tetapi tidak dibenarkan duduk semeja dan terpaksa dipecahkan.
“Jadi kami amat lega dengan kelonggaran baharu ini kerana ia buka ruang kepada pengusaha untuk tingkatkan jumlah pelanggan sekali gus menambahkan lagi rezeki kami,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelanggan restoran kini tidak lagi dihadkan, sebaliknya boleh duduk sekali berdasarkan saiz meja.
Jawahar berkata, menerusi PKPB hanya empat pelanggan dibenarkan duduk semeja dalam restoran dan susun atur meja ditetapkan dengan jarak dua meter antara meja.Katanya, pemilik restoran juga diwajibkan merekod kehadiran pelanggan serta mengambil suhu badan pekerja dan pelanggan.
Menurutnya, semasa tempoh PKPB juga restoran hanya dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam sebelum ia dilonggarkan pada PKPP.
“Bagi restoran yang beroperasi 24 jam sehari sebelum ini, walaupun tempoh beroperasi sekarang masih kurang enam jam tetapi kami tetap bersyukur.
“Kami terima SOP itu sebagai satu normal baharu dan menyokong usaha kerajaan untuk putuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19),” katanya.
Setakat ini, restoran Muslim yang berdaftar dengan Presma di Malaysia berjumlah 4,500 buah dengan keahlian berjumlah 3,000 orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!