Kontraktor jual durian harga rendah
TANJONG KARANG - Seorang kontraktor menjual durian kampung dengan harga serendah RM5 sekilogram bagi membolehkan orang ramai merasai raja buah itu dengan harga berpatutan.
Mohamad Faizal Abu Bakar, 39, berkata, inisiatif itu dilakukan bersama keluarga yang mendapatkan bekalan tersebut daripada pembekal di luar Selangor.
Menurutnya, durian kampung pelbagai gred diperolehnya di Batu Kurau, Perak selain di durian baka di Raub dan Lipis di Pahang.
"Durian kampung pelbagai gred misalnya kita jual antara RM5 hingga RM15 sekilogram, namun menariknya, walaupun durian kampung yang dijual gred rendah tetapi isinya setanding durian bergred tinggi," katanya kepada Sinar Harian.
Mohamad Faizal yang berniaga di Tapak Bazar Raya Pekan Tanjong Karang berkata, pelbagai jenis durian baka turut dijual iaitu musang King, 101, D24, udang merah dan montong.
"Harga bagi durian kahwin pula misalnya musang king gred B saya jual pada harga RM38 sekilogram dan gred A pula RM48 sekilogram.
"Malah, harga ini kadang-kala berubah dari masa ke masa dan apa yang penting saya akan memastikan pelanggan berpuas hati mengeluarkan wang mereka untuk nikmati durian," katanya.
Bagaimanapun, katanya, peniaga durian ketika ini bimbang dengan jangkaan bahawa harga tersebut bakal mengalami kenaikan.
Katanya, difahamkan durian dari negara ini sudah boleh dieksport ke luar negara dan bermula semalam, beliau turut dimaklumkan beberapa negeri antaranya Pahang dan Johor mula eksport buah ke Singapura.
Beliau tidak menolak, ia boleh menjadi faktor peningkatan harga secara mendadak berikutan permintaan tinggi.
"Kenaikan itu tentunya akan memberi kesan kepada pembeli yang merungut berikutan kenaikan ini yang sukar dikawal," katanya.
Beliau berkata, musim durian kali ini dijangka berlangsung lebih lama iaitu sehingga September depan.
"Bagi mereka yang inginkan durian pada harga terbaik, kami sememangnya memberi pelbagai pilihan kepada pelanggan bagi memastikan kualiti buah yang kami jual.
"Malah, pelanggan tidak mempersoalkan mengenai harga kerana saya memberi pilihan kepada setiap pembeli untuk memilih sendiri dan membukanya terus untuk memastikan isi durian itu baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!