Lebih sedekad jalan rosak, tidak berturap
RANTAU PANJANG - Jalan masuk ke Kampung Lapang Sasar Bukit Pak Junuh, di sini yang tidak berturap akan dipenuhi dengan lopak air setiap kali hujan lebat memberikan kesukaran kepada lebih 50 penduduk yang menggunakan laluan itu untuk urusan harian mereka.
Situasi itu menyebabkan motosikal atau kenderaan milik penduduk tidak ubah seperti 'jentera pembajak' apabila terpaksa mengharungi lopak air dan lumpur.
Tidak cukup dengan itu, penduduk menghadapi masalah debu tebal setiap kali tiba musim kemarau hingga menyebabkan mereka terpaksa menutup muka bagi mengelakkan berlakunya gangguan pernafasan.
Seorang wakil penduduk, Norra Awang,50, berkata, masalah tersebut sudah berlarutan lebih sedekad lalu.
"Aduan sudah dibuat dan gambar permukaan jalan pun sudah diambil.
"Namun sayang, hingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil walaupun wakil rakyat sudah bersilih ganti," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia berharap pihak berkenaan khusususnya Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turun padang melihat sendiri keperitan penduduk di kawasan berkenaan.
Katanya, sebagai rakyat mereka berhak untuk mendapat kemudahan tersebut.
Sementara itu, Mohd Zaidi Abdul Ghani,49, pula berkata, penduduk di kawasan berkenaan sudah tidak larat untuk berdepan dengan situasi tersebut.
"Kalau sehari dua bolehlah kami sabar ini sudah bertahun-tahun.
"Takkan nak tunggu berlaku kemalangan baru mahu bertindak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!