Tahajud terakhir seorang dermawan

Mohamad Sultan (kiri) menenangkan Mohamed Sadruddin (tengah) yang bersedih setelah menerima berita duka itu di kediaman Allahyarham di Taman Padang Negara di sini.
Mohamad Sultan (kiri) menenangkan Mohamed Sadruddin (tengah) yang bersedih setelah menerima berita duka itu di kediaman Allahyarham di Taman Padang Negara di sini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – "Sulit macam manapun sepanjang saya mengenali arwah, dia tak pernah tinggalkan solat tahajud. Mungkin semalam adalah yang terakhir," kata Pengerusi Persatuan India Muslim Kelantan, Mohamad Sultan Oli Mohamad, 63.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediaman Allahyarham Mohamed Salahudin Shahabudin, 54, di Taman Padang Negara, di sini hari ini.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Gleneaglas, Kuala Lumpur, awal pagi tadi selepas tiga hari dirawat di situ.

Allahyarham yang merupakan Pengerusi Persatuan India Muslim Terengganu disedari meninggal dunia sekitar jam 4.30 pagi ketika sedang sujud sewaktu menunaikan solat tahajud oleh isterinya, Habibou Nissa Abdul Rashid, 50.

Mohamad Sultan berkata, beliau mengenali Allahyarham sejak 20 tahun lalu ketika sama-sama aktif dalam aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan India Muslim dan Kongres India Muslim Melayu (Kimma).

Katanya, sepanjang hayat Allahyarham tidak pernah jemu menghulurkan sumbangan bagi kerja-kerja kebajikan terutama melibatkan pembinaan dan perbelanjaan madrasah, pusat tahfiz serta rumah anak–anak yatim.

“Arwah bukan sahaja terkenal dengan sikap dermawan di Terengganu malah di Kelantan juga ramai yang beroleh manfaat hasil sumbangan dan kecaknaan yang dilakukan Allahyarham dalam membela kehidupan golongan kurang bernasib baik.

“Antara sikap terpuji beliau ialah suka merahsiakan derma atau sumbangan yang disalurkan. Tidak pernah ada sikap menunjuk-nunjuk atas jasa yang ditabur.

Artikel Berkaitan:

“Kehilangan beliau amat dirasai. Saya sendiri pun rasa terharu sebab saya kenal agak lama. Selalu ke mana-mana bersama dia,” katanya.

Sementara itu, anak bongsu Allahyarham, Mohamed Sadruddin, 17, berkata, beliau agak terkilan kerana Allahyarham sepatutnya keluar wad (discharge) hospital dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini memandangkan tahap kesihatannya bertambah baik.

Katanya, bapanya itu dimasukkan ke hospital itu Jumaat lalu selepas mengadu sakit pada bahagian dada.

Menurutnya, beliau bersama ibu serta tiga kakak iaitu Nurul Rizwanah, 28; Shahirah Farvin, 22, dan Sharifah Shamirah, 19, sempat meluangkan masa menjaga bapanya di hospital.

“Jumaat lalu kami hantar arwah ke hospital itu, saya sempat jaganya di wad sebelum saya dan dua kakak pulang ke rumah semalam.

“Kali terakhir saya berbual dengan arwah, dia kata dah rasa agak sihat dan akan pulang hari ini. Doktor pun sahkan arwah boleh pulang ke rumah dan suruh dia lakukan aktiviti yang sihat.

“Saya sedih namun saya pasrah dengan ketentuan ALLAH SWT. Dia lebih sayangkan ayah saya,” katanya ayang merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

Mohamed Sadruddin berkata, beliau bersyukur kerana bapanya telah pernah jemu mengajar dan menasihati supaya mengikut jejak langkahnya dalam berbuat kebaikan.

“Ayah saya seorang yang suka menderma. Arwah kata jangan jemu berbuat baik dan sikap itu dia telah terapkan dalam diri saya sejak kecil.

“Biasanya, setiap Jumaat ramai yang datang ke rumah untuk minta sumbangan ayah, ada dalam 200 hingga 300 orang datang ke rumah dan ayah tidak pernah tolak setiap permintaan.

“Arwah kata, jangan tolak, beri apa yang kita ada setakat yang termampu. Jangan pernah kecewakan orang,” katanya yang berazam ingin menyambung kerja-kerja kebajikan yang dilakukan bapanya itu.

Allahyarham Mohamed Salahudin dijangka tiba dari Kuala Lumpur jam 4.30 petang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, di sini malam ini.

Allahyarham yang juga merupakan Pengerusi Kongres India Muslim Melayu (Kimma) Terengganu ke India awal Februari lalu atas urusan kebajikan dan perniagaan.

Beliau kemudiannya tiba di tanah air pada 18 Mei lalu sebelum menjalani kuarantin selama dua minggu serta disahkan negatif koronavirus (Covid-19).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!