Kehidupan selama hampir 100 hari tanpa sekolah
SEDAR tak sedar, hampir 100 hari anak-anak kita tidak pergi ke sekolah ekoran penularan virus pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa mulai 18 Mac lalu di seluruh negara.
Selama hampir 100 hari berada dalam normal baharu, disiplin baharu termasuk anak-anak juga perlu berada dalam keadaan suasana kelas baharu iaitu pembelajaran secara dalam talian.
Baru-baru ini, anak-anak Merak Jalanan meluahkan rasa rindu kepada suasana persekolahan, rindukan kawan-kawan termasuk guru-guru mereka, sedangkan sebelum ini rutin berkenaan itulah yang sering menjadi rungutan.
Minggu lepas, ulang tahun anak Merak Jalanan kelapan dan dia minta dibuat majlis sambutan seperti tahun sebelumnya.
Merak Jalanan beritahu kepadanya tentang larangan kerajaan untuk rakyat berkumpul lebih 20 orang. Mula-mula anak Merak Jalanan tunjuk reaksi kecewa, akhirnya Merak Jalanan tewas.
Merak Jalanan tetap buat sambutan hari ulang tahunnya dengan syarat hanya tiga kawannya boleh hadir.
Walaupun hiasan dan jamuan makan disediakan, kawan-kawannya diwajibkan pakai topeng muka dan sanitasi tangan. Mereka juga hanya datang ke rumah dalam tempoh setengah jam.
Selepas tiup lilin, Merak Jalanan segera hubungi ibu bapa mereka untuk dibawa pulang tapi Merak Jalanan kirimkan sebakul makanan kepada kawan-kawan anak.
Itu baru majlis yang hanya mengambil masa setengah jam, bagaimana pula bila sesi persekolahan yang akan dimulakan tidak lama lagi.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini mengumumkan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat mulai murid tingkatan 5 dan 6 mulai 24 Jun 2020.
Semoga kebiasaan baharu yang dilatih selama hampir 100 hari di rumah akan dapat diaplikasikan oleh anak-anak apabila berada di sekolah kelak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!