Pusat pendaratan ikan kena terus ikut SOP: LKIM

Raja Khalid (kiri) dan Pengerusi PNK Kuala Muda Kedah, Mohamad Kamal Abidin ketika pelancaran Bot Sportfishing.
Raja Khalid (kiri) dan Pengerusi PNK Kuala Muda Kedah, Mohamad Kamal Abidin ketika pelancaran Bot Sportfishing.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Prosedur Operasi Standard (SOP) masih dipraktikkan di kesemua 300 pusat pendaratan ikan dan 48 Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) seluruh negara.

Ketua Pengarah LKIM, Raja Khalid Raja Ariffin berkata, langkah itu bertujuan mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19) biarpun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah berakhir.

Menurutnya, langkah keselamatan seperti penjarakkan sosial, pendaftaran pengunjung dan semak bacaan suhu sudah mula dipraktikkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan disambung sehingga kini.

"Teknik penjualan ikan secara bisik yang menjadi tradisi di Kuala Muda masih tidak dibenarkan biarpun kini telah melalui PKP Pemulihan kerana kita teruskan SOP,"katanya ketika hadir melancarkan Bot Sportfishing Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Muda, Kedah semalam.

Raja Khalid (tengah) ketika pelancaran Bot Sportfishing Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Muda Kedah.
Raja Khalid (tengah) ketika pelancaran Bot Sportfishing Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Muda Kedah.

Dalam pada itu, katanya, jumlah pengunjung ke pusat pendaratan ikan juga masih dihadkan kepada peraih berdaftar kerana bimbang sekiranya diberi kelonggaran menyebabkan berisiko kepada penularan wabak.

Dalam perkembangan lain, katanya, pelancaran Bot Sportfishing yang menyediakan kemudahan sewa bot bagi peminat sukan memancing atau perikanan rekreasi dengan harga berpatutan dan menarik bertujuan meningkatkan ekonomi PNK.

"Dalam tempoh PKP dan PKPB, kerajaan telah melarang semua aktiviti Sportfishing sehinggakan menerima banyak rungutan daripada peminat sukan ini yang tertekan, bagaimanapun kini telah diberi kebenaran dan menerima sambutan menggalakkan,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perikanan rekreasi mengaplikasikan teknik 'catch and release' iaitu tangkap dan lepas bermatlamat mematuhi penjagaan sumber dan kawalan terhadap sumber perikanan merupakan salah satu aktiviti sukan menarik yang semakin mendapat perhatian di negara ini.

Dalam majlis sama, Raja Khalid turut menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas barisan hadapan antaranya anggota polis, Rela, Angkatan Pertahanan Awam dan Angkatan Tentera Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!