Tidak mungkin Anwar mahu terus diperdaya

Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin UMNO menyifatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mungkin mahu terus diperdaya dalam mengejar cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, Anwar dipecat, dipenjara serta dipermainkan dan akhirnya parti beliau menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Namun amat menyedihkan apabila orang yang sama menggagalkan karier politik dan reputasinya menjadi Perdana Menteri lagi.

"Ibarat belum sempat menikmati kemahsyuran dan diangkat menjadi pengganti (Tun) Dr Mahathir Mohamad untuk kali kedua, tiba-tiba Dr Mahathir meletakkan jawatan tanpa berbincang dengan mana-mana parti komponen PH terlebih dahulu.

“Perkara ini amat mendukacitakan banyak pihak," katanya dalam kenyataan media di Facebooknya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan DAP yang mahu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga tidak lain hanyalah sebagai wayang politik untuk menarik sokongan Melayu kepada PH Plus.

"DAP tahu Parti Amanah Nasional (Amanah) dan PKR sudah tidak berdaya lagi menarik sokongan orang Melayu dan atas sebab itu mereka masih mahu Tun M (Dr Mahathir) menjadi Perdana Menteri.

"Ini sesuai dengan strategi DAP yang mahu Melayu 'screw' Melayu seperti yang mereka lakukan sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Anwar membuat permohonan maaf terbuka kerana belum dapat memuktamadkan calon Perdana Menteri PH Plus ketika usaha mengambil semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) masih menjadi agenda gabungan berkenaan.

Menyatakan permohonan maaf itu secara langsung di Facebooknya semalam, Anwar berkata, ada pelbagai aspek perlu dipertimbangkan sebelum keputusan mengenainya dapat diumumkan.

Anwar berkata, antaranya mengenai prinsip reformasi untuk kepedulian terhadap masalah rakyat, mengembalikan keyakinan pelabur dan menjana semula ekonomi negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!