Haiwan berbisa, panggilan kecemasan meningkat
KLUANG - Panggilan kecemasan berkaitan menangani haiwan berbisa seperti ular meningkat sebanyak 40 peratus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, peningkatan tersebut berpunca daripada faktor cuaca lembab selain tiada gangguan manusia menyebabkan spesies reptilia terbabit keluar dari tempat perlindungannya untuk mendapatkan makanan.
"Bagi berdepan haiwan berbisa ini, anggota bomba memberi komitmen sepenuhnya namun langkah-langkah keselamatan tetap diutamakan," katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zon 3 di Balai Bomba dan Penyelamat Kluang di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Yahaya turut menyampaikan APC kepada seramai 18 pegawai dan anggota dari tujuh Balai Bomba dan Penyelamat Zon 3 atas perkhidmatan cemerlang yang disumbangkan sepanjang 2019.
Sementara itu, mengulas khidmat sanitasi awam, beliau berkata, pihaknya bersedia memberikan bantuan nasihat kepada pihak yang ingin melaksanakan khususnya sempena pembukaan sekolah tidak lama lagi.
Jelasnya, khidmat tersebut mula berkurangan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!