PGA tumpaskan penyeludupan rokok
BANTING - Cubaan menyeludup rokok bernilai lebih RM100,000 berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah di Sungai Kampung Sawah, di sini, malam tadi.
Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Tengah, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, kegiatan itu dikesan Pasukan Risik Batalion 4 yang sedang membuat rondaan di kawasan berhampiran sungai berkenaan pada jam 11.30 malam.
Menurutnya, dua lelaki dilihat dalam keadaan mencurigakan sedang mengangkat sesuatu daripada sebuah bot yang berada di dalam sungai berkenaan dan apabila cuba dihampiri pasukan rondaan, kedua-duanya melarikan diri.
"Pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan menemui 36 kotak yang mengandungi 50 karton rokok di dalam setiap kotak yang dianggarkan bernilai RM108,000.
"Kesemua rokok berkenaan telah dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abdul Ghani berkata, menerusi Ops Nyah 1 di Selangor dan Johor bagi tempoh 1 Januari sehingga hari ini, seramai 42 pendatang asing tanpa izin (Pati) berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun termasuk empat wanita dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan India ditahan.
Beliau berkata, antara lokasi serbuan adalah di sebuah rumah di Taman Emas Merah, Pekan Nenas, Johor yang disyaki dijadikan lokasi transit Pati.
"Kita turut mengesan helah digunakan sindiket yang menggunakan van pelancongan untuk membawa Pati di Jalan Besar berhampiran Pos Tanjung Layang, Pulau Carey, Selangor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!