Dua warga Indonesia positif Covid-19 larikan diri

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Dua warganegara Indonesia yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) di Sarawak selepas menjalani saringan bagi permohonan permit kerja telah melarikan diri.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kedua-dua individu tersebut melarikan diri semasa pihak JPBN sedang menjalankan pengesanan kontak rapat dan mencari punca jangkitan.

“Pihak majikan perlu berwaspada dan membuat laporan kepada pihak polis sekiranya mendapati dua pekerja (dari luar) cuba menyembunyikan diri di tempat mereka,” menurut kenyataan itu.

Selepas beberapa kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pekerja asing beberapa hari lepas, JPBN menasihati semua majikan untuk membuat saringan terhadap semua pekerja mereka, khususnya pekerja asing.

Sarawak hari ini mencatatkan empat kes positif Covid-19, iaitu dua kes membabitkan warga tempatan manakala dua lagi warganegara Indonesia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif setakat ini 565 kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!