Covid-19: Jumlah sebenar kematian didakwa lebih tinggi
LONDON - Jumlah kematian akibat koronavirus (Covid-19) didakwa jauh lebih tinggi berbanding hampir 450,000 direkodkan di seluruh dunia.
Menurut laporan BBC News, korban tambahan itu dipercayai berjumlah seramai 130,000 berdasarkan tinjauan data awal kematian di 27 negara yang menunjukkan angka kumulatif kes kematian sebenarnya jauh lebih tinggi berbanding yang dilaporkan secara rasmi.
Situasi digelar sebagai ‘kematian berlebihan’ berikutan sebahagiannya didakwa tidak direkodkan sebagai mangsa Covid-19 dan kesilapan itu dipercayai berpunca daripada masalah sistem penjagaan kesihatan atau faktor lain.
Data rasmi juga menunjukkan Amerika Syarikat (AS) merekodkan kematian tertinggi disusuli Brazil, United Kingdom (UK) dan Itali.
Bagaimanapun, pakar kini mula meragui data kematian rasmi yang dikeluarkan kebanyakan negara termasuk China dan Iran.
Dalam perkembangan lain, Presiden AS, Donald Trump menegaskan negara itu tidak akan menutup semula operasi perniagaan selepas beberapa negeri termasuk Oklahoma dan Texas merekodkan lonjakan kes jangkitan baharu dipercayai akibat daripada siri protes antirasisme yang berlarutan sejak lebih tiga minggu lalu.
“Kami tidak akan menutup negara ini lagi,” katanya ketika wawancara bersama Fox News Channel walaupun negara itu merekodkan 2.16 juta kes jangkitan dan lebih 117,000 kematian.
Sementara itu, calon parti Demokrat, Joe Biden mendakwa, Trump sengaja ‘menyerah kalah’ dan gagal bersiap sedia bagi menghadapi gelombang kedua jangkitan yang boleh menjejaskan usaha pemulihan ekonomi AS.
“Rakyat Amerika sudah banyak berkorban untuk memerangi virus itu.
"Usaha untuk mengekalkan momentum ini mungkin tidak berjaya kerana Presiden sudah tidak menunjukkan minat untuk terus membendung wabak tersebut,” katanya.
Trump dilaporkan merancang perhimpunan kempen pertama Pilihan Raya Presiden AS di Oklahoma pada lusa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!