Pasar malam sudah berbeza

Dahulu ke sana ke sini di pasar malam begitu mudah ditambah jeritan peniaga yang menggamatkan suasana.
Dahulu ke sana ke sini di pasar malam begitu mudah ditambah jeritan peniaga yang menggamatkan suasana.
A
A
A

BERCAKAP tentang pasar malam, pasti terbayang aneka jenis makanan dan minuman yang membangkitkan selera pengunjung.

Bukan sahaja makanan, bahan mentah seperti sayur, buah-buahan, ikan, ayam, daging malah pakaian, aksesori wanita dan lelaki serta mainan kanak-kanak begitu mudah dicari di pasar malam.

Dulu ke sana ke sini di pasar malam begitu mudah ditambah jeritan peniaga yang menggamatkan suasana.

Tetapi itu semua dulu. Kini serba serbi di pasar malam sudah berubah. Memang berbeza kerana semuanya mesti ikut peraturan bagi mengekang penularan koronavirus (Covid- 19).

Gerai-gerai disusun agak jauh selain terdapat laluan khas untuk pengunjung membeli barang. Agak kekok pada mulanya, kerana perlu beratur seperti di kantin sekolah.

Maklumlah sudah terbiasa dengan pasar malam yang sesak dan penuh dengan orang ramai.

Hendak masuk pasar malam pun kena ikut peraturan, diambil suhu badan dan direkod butir peribadi seperti nama dan nombor telefon.

Tapi kini di beberapa tempat sudah disediakan aplikasi yang boleh diimbas pengunjung untuk memudahkan mereka merekodkan data peribadi.

Artikel Berkaitan:

Rata-rata peniaga gembira dapat berniaga semula selepas operasi pasar malam dan pasar pagi tidak dibenarkan sejak tiga bulan lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Sebelum PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac, Johor mempunyai 4,409 peniaga pasar pagi dan 23,184 peniaga pasar malam di 53 lokasi pasar pagi dan 194 pasar malam di semua kawasan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Kerajaan negeri menerusi Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ayub Jamil mengeluarkan kenyataan kebenaran membuka semula pasar pagi dan pasar malam mengikut kawalan dengan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bermula 15 Jun lalu.

Pemantauan

Bagaimanapun, kebenaran menjalankan perniagaan itu juga akan dilaksanakan secara berperingkat di semua PBT bagi melihat terlebih dahulu pematuhan peniaga dan pembeli terhadap SOP ditetapkan.

Tempoh operasi yang dibenarkan bagi pasar pagi adalah dari jam 6 pagi hingga 11 pagi manakala pasar malam dari jam 4 petang hingga 10 malam.

Beberapa PBT di negeri Johor pada 15 Jun lalu dilihat mula mengambil langkah membuka pasar malam atau pasar pagi di kawasan mereka dengan peraturan dan pemantauan ketat dilakukan ke atas operasi perniagaan mereka.

Apa-apa pun pembukaan semula pasar pagi dan pasar malam dilihat langkah terbaik bagi membantu peniaga terutama usahawan kecil selain menjana semula ekonomi setempat.

Pekebun sayur di kampung mudah hendak jual hasil mereka kerana pasar pagi dan pasar malam sudah dibuka. Mungkin sudah tidak pening kepala lagi hendak mencari pasaran.

Secara tidak langsung ia turut membantu ekonomi pekebun, petani, penternak dan nelayan untuk memasarkan produk mereka. Begitu besar peranan pasar pagi dan pasar malam kepada ekonomi setempat.

Bagaimanapun bagi orang ramai yang ingin berkunjung ke pasar malam dan pasar pagi, mereka perlu akur dengan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa dalam mendepani normal baharu pandemik Covid-19.

Pengunjung perlu sentiasa menjaga jarak sosial kerana Covid-19 masih tiada penawar dan akan kekal berada dalam komuniti kita sehingga kini. Paling penting perlu pakai penutup muka.

Bagi peniaga pula, soal kebersihan juga tidak boleh diabaikan.

Peniaga perlu memastikan gerai mereka bersih dan PBT serta jabatan berkaitan juga perlu melakukan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan aspek kebersihan dalam kalangan peniaga betul-betul dipatuhi.

Kita semua perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan menentang Covid-19 berpihak kepada kita. Kita mesti menang.

* Nor Azura Md Amin ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Johor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!