'Tiada kompromi dengan petualang negara'
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusaha mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan terperinci dilakukan ke atas setiap tangkapan PATI sebelum ini.
“Insya ALLAH, lebih ramai lagi akan ditangkap di negeri lain. Sindiket ini terang-terangan mengancam keselamatan negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Abdul Hamid dalam kenyataannya sebelum ini berkata, pihaknya mengesan terdapat beberapa anggotanya dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket penyeludupan migran.
Menurutnya, pihaknya itu sama sekali tidak akan berkompromi dengan isu itu dan tindakan tegas akan diambil bukan sahaja dalam isu penyeludupan migran tapi di bawah undang-undang jenayah kerana melakukan penyelewengan.
Sementara itu Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang menegaskan, ATM tidak akan sesekali berkompromi dengan pegawai dan anggota yang terbabit di dalam melakukan apa jua kegiatan jenayah.
"Ketegasan ini adalah penting kerana ia mencemarkan imej ATM sebagai pasukan keselamatan yang bertanggungjawab dalam memastikan kedaulatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.
"ATM menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut supaya mereka yang terlibat dengan sindiket penyeludupan PATI dapat ditangani keseluruhannya," katanya.
Menurutnya, penahanan kesemua individu terlibat menunjukkan keberkesanan Operasi Benteng di bawah pengawasan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sebelum ini, hampir 1,000 PATI dan tekong haram ditahan sejak 1 Mei hingga 14 Jun lalu selepas dikesan cuba menyeludup ke Malaysia.
Tangkapan itu adalah hasil Operasi Benteng yang dilaksanakan empat agensi penguatkuasaan secara bersepadu bagi mengekang jenayah rentas sempadan, serta menyekat penularan wabak Covid-19.
Operasi Benteng membabitkan ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM), yang mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!