Pandemik budaya konsumerisme

A
A
A

PANDEMIK bererti wabak penyakit yang merebak luas keseluruhan negara atau merentasi negara. Dengan itu pandemik memang suatu gejala yang sangat ditakuti.

Ia boleh mencetuskan krisis yang melarat dan berantaian. Covid-19 telah memberi kesan luar biasa berskala global yang parah.

Krisis bermula dengan kesihatan memberi kesan kepada ekonomi, kehilangan pekerjaan, kejatuhan harga minyak, polisi negara dan keselamatan awam.

Akan tetapi ada pandemik yang bersifat budaya. Ia bukan virus dalam erti kata penyakit yang dibawa oleh vektor. Ia berbentuk sikap, pemikiran dan nilai dan terjelma dalam bentuk tradisi dan budaya.

Pandemik dalam bentuk ini jauh lebih memudaratkan. Malah ia bukan sahaja memberi implikasi kepada generasi masa kini boleh berlanjutan kepada generasi masa mendatang.

Sejak pengenalan era teknologi dan modenisme serta beralih kepada ekonomi kapitalisme dan kemudian mewabak kepada globalisme, seluruh dunia terkesan dengan budaya konsumerisme yang lahir dari sistem ekonomi yang mempengaruhi ekonomi, sosial, alam sekitar, pembangunan, sistem kewangan dan urus tadbir.

Hampir semua bidang hidup terkesan di seluruh dunia. Budaya mengguna dan membuang, membeli dan menyimpan, membangun dan meruntuh.

Semua terkesan dengan konsumerisme barat. Mengejar kepuasan yang tidak pernah puas-puas. Mengikut tren terkini tanpa berfikir kesan jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

Lalu pandemik budaya rakus, tidak mempedulikan kesan kepada alam, tidak kisah implikasi kepada nasib kolektif masyarakat terbanyak, mempersetankan akibat buruk kepada generasi masa depan,tidak mengendahkan nasib mereka yang tertindas dan kebuluran.

Sikap yang menjangkiti pengguna global menjadi sangat individualistik.Tabiat yang salah yang tersemai dalam budaya menyebabkan respon pengguna kurang tersaring.

Bila konsep penjarakan sosial diperkenalkan, ditambah dengan pandemik budaya konsumerisme diamalkan, maka natijah yang berlaku ialah peminggiran sosial (social isolation).

Impak pandemik Covid-19 memberi kesan kepada budaya keintelektualan masyarakat. Cara berfikir untuk survival semakin tajam dan interaksi merentas budaya dan masyarakat lain semakin kecil.

Bermakna sikap penting diri menjadi terserlah dan xenofobia ( iaitu membenci pendatang luar ) semakin membuak.

Pandemik budaya konsumerisme sebenarnya tertanam sejak dari nilai individualisme, materialisme dan komersialisme mengambil tempat dalam kalangan masyarakat pengguna.

Matlamat kita sepatutnya untuk menyemai amalan budaya konsumerisme lestari sebagai ubat kepada pandemik budaya konsumerisme rakus dan tidak mapan.

Pandemik budaya sangat merbahaya kerana menjalar merentasi bukan sahaja sempadan malah generasi. Lebih barat kerana pandemik ini terintergrasi di dalam hampir semua sistem manusia, sosial, ekonomi, politik.

Pandemik ini lebih bertahan lama kerana virusnya tersemat dalam sistem pendidikan dari pra-sekolah hingga ke tahap pengajian tinggi.

Nilai persaingan sangat tersemai dalam budaya dan set minda para penuntut dalam sistem pendidikan sekarang sehingga mendewasa dengan nilai individualisme yang mempengaruhi sikap dan tingkah laku.

Walhasil, realiti sosial berubah dari inklusif kepada esklusif, dari keutamaan hidup kolektif kepada budaya hidup penting diri.

Masyarakat pengguna yang terbentuk oleh nilai global harus kembali menghargai kekayaan lokal dan berinteraksi dengan budaya hidup lokal.

Ertinya pandemik budaya konsumerisme ini hanya dapat dirawat dengan menyemarakkan semula hidup kebersamaan dan memberi penekanan kepada nilai memulihara kepentingan sumber lokal.

Jika kemanusiaan mahu dipulih, budaya kesumerisme perlu diperbaiki. Konsumerisme yang bercirikan hidup sederhana, hidup berdasarkan keperluan asas harus menjadi keutamaan. Hidup berdasarkan kemampuan dan tidak membazir adalah vaksin memulih pandemik yang memusnahkan ini.

Jika wabak Covid-19 memberi kesan parah kepada ekonomi negara dan dunia, demikian pandemik budaya konsumerisme yang rakus akan memberi implikasi negatif kepada kesejahteraan dan kemakmuran manusia keseluruhannya.

Budaya hidup sekular barat kini menjadi arus perdana global apabila pandemik konsumerisme mengatasi semua pandemik yang lain.

Natijahnya, wujud jurang kaya miskin yang semakin lebar, pembolotan kekayaan dunia oleh segelintir golongan, konflik perebutan sumber bumi antara kuasa besar dunia, pembaziran dan pembuangan sampah toksik yang berleluasa dan pengeluaran produk konsumer yang menjejaskan kesihatan pengguna.

Terserah kepada pengguna untuk membetulkan pandemik budaya yang parah ini demi masa depan generasi mendatang.

*Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!