Kepakaran pensyarah kanan UMK diiktiraf peringkat antarabangsa
BACHOK - [DIKEMAS KINI] Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sekali lagi mencipta sejarah apabila seorang Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Profesor Madya Ahamad Tarmizi Azizan dilantik sebagai Penasihat China Europe International Design Culture (CEIDA) untuk tempoh dua tahun bermula 16 Jun lalu hingga 15 Jun 2022.
Ahamad Tarmizi berkata, pelantikan itu adalah satu pengiktirafan oleh badan antarabangsa kepada kepakaran UMK dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) di peringkat dunia dalam menghadapi norma baharu.
Katanya, dengan kemahiran dan pengalamannya ia dapat mendukung usaha dan inisiatif UMK dalam memperkukuhkan hubungan baik dengan sebuah persatuan yang menghimpunkan ahli akademik dalam bidang seni digital di China dan Eropah.
"Menerusi pelantikan ini, pihak CEIDA menyediakan platform kepada saya selaku penasihat untuk mengadakan pameran, pertandingan, forum dan aktiviti berkaitan seni kreatif berkaitan termasuk sebagai panel jemputan untuk penilaian akhir pertandingan anjuran pihak persatuan.
“Saya juga diberi peluang menjadi pensyarah jemputan untuk menyampaikan kuliah di beberapa universiti di China selain sedia membantu universiti berkolaboratif dalam program peringkat antarabangsa seperti program pertukaran pelajar, pendidikan bersama untuk pendidikan lanjutan dan lain-lain,” katanya hari ini.
Ahamad Tarmizi adalah bekas dekan FTKW di UMK turut dilantik sebagai Profesor Pelawat di Universiti Pendidikan Indonesia (UPI) selain turut menjadi Pengasas dan Presiden bagi Persatuan Seni Digital ASEAN (ASEDAS), Persatuan Pendidik Animasi Malaysia (ANIMATES).
Beliau juga dilantik sebagai Exco Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE) dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Kerajaan Negeri Kelantan.
Beliau bermula dalam bidang seni digital sebagai pendidik dari tahun 1997 hingga 2020 sebagai pengarah seni, perunding, menjadi penceramah tamu antarabangsa di persidangan antarabangsa dan nasional.
Antara pencapaian terbaik beliau adalah memenangi pingat emas, perak dan gangsa dalam pertandingan di peringkat nasional dan antarabangsa seperti International Technology Expo (ITEX), Malaysian Technology Expo (MTE).
Pengalaman beliau juga diiktiraf di peringkat dunia khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran serta pernah menjadi panel pada persidangan dan pameran seni di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, pengurusan tertinggi UMK sentiasa menyokong pembabitan warganya di mana-mana platform antarabangsa kerana selain memanfaatkan kepakaran yang ada ia turut mengangkat nama universiti di arena antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!