The Reds sudah sedia
LIVERPOOL sudah bersedia untuk menumbangkan Everton dalam aksi di Goodison Park awal pagi Isnin ini sekali gus menghampiri impian untuk mendakap trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berkata, pasukan itu akan turun dengan barisan terkuat untuk mencari tiga mata penuh.
"Kami sudah berlatih dan bermain dengan baik dan sudah tentu kami mengharapkan tiga mata penuh selain tiada pemain yang mengalami kecederaan.
“Kami akan fokus beberapa latihan lagi dan ia akan menjadi berita baik kerana kami akan memiliki satu pasukan yang 100 peratus cergas," katanya.
The Reds berpeluang merapatkan langkah menjulang kejuaraan domestik itu sekiranya berjaya memperoleh tiga mata ke atas Everton.
Saingan EPL ditangguhkan sejak Mac lalu yang menyaksikan Liverpool perlu menunggu selama tiga bulan untuk cuba melengkapkan pemburuan 30 tahun menjulang trofi EPL musim ini.
"Kami mengharungi situasi normal selepas berehat panjang dan ia tidak mengganggu rentak kami.
"Apa yang boleh saya katakan kami sudah bersedia untuk meneruskan misi kami mencari dua kemenangan lagi untuk mengesahkan kejuaraan," katanya.
Sekiranya berjaya menewaskan Everton, skuad kendalian Klopp itu berpeluang untuk menjulang trofi EPL pada 24 Jun ini dengan tugas terakhir menundukkan Crystal Palace di Anfield.
Dalam pada itu, Klopp sekali lagi mengingatkan penyokong supaya tidak hadir ke stadium dan menunggu waktu sesuai yang akan diumumkan untuk sama-sama meraikan sekiranya Liverpool berjaya menjulang trofi itu.
"Apabila seseorang telah menjumpai vaksin dan kadar jangkitan sudah rendah atau tiada lagi, maka waktu itu adalah sangat sesuai untuk kita meraikannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!