Pengurusan kes Nora Anne 4 Ogos

Sankara Nair pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Seremban.
Sankara Nair pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Koroner hari ini menetapkan 4 Ogos ini sebagai tarikh pengurusan kes inkues remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15.

Hakim Koroner, Junaidah Mohd Isa berkata, pihak pengendali kes perlu menyenaraikan nama saksi secara lebih lengkap berserta peranan mereka ketika operasi pencarian remaja berkenaan serta menyenaraikan perkara berbangkit lain.

Sebelum itu, pegawai pengendali kes, Mohamad Iskandar Ahmad memberitahu mahkamah, pihaknya telah mengenal pasti seramai 589 saksi terdiri daripada pelbagai agensi seperti polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), penduduk kampung, orang perseorangan, badan profesional dan lain-lain untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.

Bagaimanapun, Junaidah berkata, saksi tidak perlu disenaraikan sehingga lebih 500 orang kerana beliau percaya pegawai pengendali mempunyai maklumat tepat untuk mengenal pasti saksi-saksi yang sepatutnya dipanggil.

"Bagi pihak koroner masa ini, saya percaya pegawai pengendali boleh bantu untuk kenal pasti siapa antara dalam senarai ini sepatutnya dipanggil memandangkan ada dua operasi dijalankan iaitu tentang orang hilang dan inkues.

"Tidak perlu semua 500 saksi itu. Saya percaya pegawai pengendali ada maklumat lebih lengkap untuk bantu koroner kendalikan prosiding ini.

"Saya perlu tahu penglibatan saksi ini di mana dan bila. Senarai maklumat ini perlu dibuat lebih lengkap supaya koroner yang mendengar kes ini tahu siapa yang dipanggil," katanya.

Sementara itu, peguam mewakili keluarga Nora Anne, Datuk Sankara Nair berkata, keluarga mendiang memohon mahkamah membenarkan prosiding dibuat secara sidang video dan menggunakan bahasa Inggeris.

Artikel Berkaitan:

Nora Anne bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat Seremban pada 3 Ogos 2019, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos 2019, iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5 km dari eko-resort itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!