Masa terbaik The Red Devils buktikan kehebatan
MANCHESTER United diberi amaran supaya kekal agresif dalam pemburuan slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan dengan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hanya berbaki sebanyak sembilan perlawanan.
Legenda The Red Devils, Phil Neville berkata, anak buah Ole Gunnar Solskjaer perlu memulakan kempen liga yang ditangguhkan sejak tiga bulan lalu akibat pandemik Covid-19 dengan kemenangan sekiranya berhajat meraih slot empat terbaik liga.
“Ya cabaran seolah-olah seperti awal musim tapi sebenarnya hanya tinggal sembilan perlawanan penting yang perlu diberikan tumpuan utama oleh pemain untuk memburu slot Liga Juara-Juara, juga semestinya menjadi tumpuan Chelsea.
“Pemain perlu bekerja lebih keras lagi selepas terlalu lama berehat akibat pandemik Covid-19, dan di sinilah cabaran bermula sebenarnya tidak hanya kepada Manchester United tetapi juga kelab lain dalam saingan kali ini," katanya.
Tambah bekas pemain The Red Devils berusia 43 tahun itu, cabaran pertama gergasi Inggeris itu adalah menentang bekas pengurus Jose Mourinho yang juga akan dipacu kecergasan Harry Kane dan Heung-min Son pada Sabtu ini.
Pada masa sama Neville juga memberi amaran kepada Solskjaer bahawa Spurs akan menjadi pesaing yang sama sekali berbeza daripada kelab sebelum liga ini ditangguhkan pada bulan Mac lalu.
“Anda melihat bentuk Tottenham sebelum penangguhan liga ini tidak bagus. Tetapi sekarang, ia akan menjadi kelab yang sama sekali berbeza.
“Tetapi satu perkara yang akan saya katakan ialah Tottenham kembali mendapatkan Harry Kane, begitu juga United telah kembali mendapatkan Paul Pogba.
“Namun kelebihan kepada Manchester United apabila semua pemainnya yang sebelum ini dibelenggu kecederaan kini hanya menanti masa untuk kembali tampil membuktikan kehebatan masing-masing.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!