Tauke gerai mi RM1 tidak akan naikkan harga
TUMPAT - Zailani Ismail tidak kisah menjual makanan dan minuman di gerainya di Kampung Delima di sini hanya pada harga RM1 kerana dia percaya rezeki ALLAH SWT itu luas malah pengunjung ke kedainya juga tidak putus-putus.
Setelah kedainya yang menjual pelbagai hidangan sup seperti mi, kuetiau, makaroni dan bihun sup serta nasi air RM1 semangkuk tular di media sosial tahun lepas, dia tidak menang tangan melayan pelanggan yang turut datang dari luar Kelantan.
“Berita saya ini tular setelah disiarkan sebuah akhbar dan televisyen tempatan dan selepas itulah rezeki kedai mee seriya (RM1) ini mendapat perhatian dan dikunjungi pengunjung...sejak itu juga rezeki saya menjual makanan dengan harga RM1 terus bertambah.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya pernah menggaji seramai 11 pekerja apabila lebih 200 orang mengunjungi kedai saya setiap hari,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Zailani,48, seorang penghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang itu juga sama sekali tidak bercadang untuk menaikkan harga walaupun perniagaannya semakin maju, malah akan membuka beberapa cawangan tidak lama lagi.
Selain makanan, Zailani juga menjual beberapa minuman segera dengan harga yang sama dan ketika dikunjungi, kedainya dipenuhi pelanggan terutama kanak-kanak di sekitar kampung tersebut.
Selain itu, anak-anak Zailani yang lain juga turut menjual makanan ringan seperti sosej bakar juga pada harga RM1 secucuk.
Perniagaan yang menggunakan resipi tersendiri itu turut dibantu isteri, Noraizah Awang,50, dan seorang anaknya, Siti Aminah,20 tahun.
"Saya sanggup berkongsi rahsia kepada mereka yang berminat untuk mengubah hidup walaupun menjual makanan dengan harga murah kerana saya percaya rezeki ALLAH SWT itu luas dengan cara bersedekah seperti ini," katanya.
Seorang pelanggan, Muhammad Aidiel Asyraaf Zabidi,23, dari Perak berkata, beliau pada mulanya tidak percaya dengan harga makanan itu.
"Bila saya datang dengan kawan barulah saya percaya dan rasanya pun sedap. Saya berdoa agar rezeki pak cik ini bertambah kerana dia tidak kedekut kerana di kedai lain harganya mungkin RM5 semangkuk," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!