Kempen Beli Barangan Malaysia, Jualan Malaysia rancakkan ekonomi
Alexander Nanta Linggi bersama Radzali (kiri) dan Ming Kit pada Majlis Menandatangani MOU antara MFA dan Shopee di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini. Foto: Bernama
A
A
A
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya sedang melakukan persediaan akhir untuk melancarkan kedua-dua program tersebut yang merupakan perancangan terbesar kementerian bagi membantu peniaga dan ekonomi negara.
Menurutnya, Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia memfokuskan terhadap barangan buatan tempatan namun tidak bermakna pihaknya melupakan sektor penjualan barangan import melalui Kempen Jualan Malaysia kerana mereka yang terlibat turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
"Tidak lama lagi kita akan umumkan dan buat pra pelancaran sebelum pelancaran besar-besaran diadakan," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan penyerahan memorandum persefahaman (MoU) antara Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan platform beli-belah atas talian, Shopee Malaysia.
Turut hadir, Timbalan Menteri, Datuk Rosol Wahid; Pengerusi MFA, Datuk Dr Radzali Hassan dan Ketua Kluster Barangan Pengguna Bergerak Pantas Shopee, Tan Ming Kit.
Terdahulu dalam ucapannya, Alexander berkata, penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang sedang melanda di seluruh dunia memberikan kesan besar kepada ekonomi, termasuk perniagaan francais.
Menurutnya, hasil tinjauan kesan pengoperasian francais semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh BPFJL dalam kalangan pemain industri menunjukkan industri berkenaan mengalami kemerosotan hasil pendapatan yang ketara.
"Penurunan ini terutamanya bagi subsektor makanan dan minuman sehingga 70 peratus serta 80 peratus subsektor pendidikan," katanya.
Menurutnya, memasuki fasa pemulihan, KPDNHEP akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu merancakkan kembali sektor peruncitan negara.
"Saya berharap pihak industri francais dan penyedia platform 'online marketplace' seperti Shopee akan dapat menyokong usaha ini, demi mengembalikan ekonomi negara ke landasan yang sepatutnya," katanya.
Sementara itu, Radzali berkata, menerusi usahasama antara MFA dan Shopee Malaysia, sebanyak 509 ahli MFA dapat membuka kedai rasmi dan mempromosikan baucar pembelian atau produk mereka secara dalam talian.
Ming Kit pula berharap Shopee dapat menghulurkan bantuan kepada francais tempatan bukan setakat mendirikan kedai dalam talian tetapi juga memberi sokongan melalui alat pemasaran dan ciri aplikasi seperti Shopee Live, Shopee Games, kempen dan lain-lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!