'Lantik Mukhriz jadi TPM boleh selesai isu calon PM PH Plus'

Hantaran Najib di Facebook berhubung pilihan boleh dibuat PH Plus bagi menyelesaikan kemelut calon Perdana Menteri kesembilan.
Hantaran Najib di Facebook berhubung pilihan boleh dibuat PH Plus bagi menyelesaikan kemelut calon Perdana Menteri kesembilan.
A
A
A

SHAH ALAM - Biarpun isu pemilihan calon Perdana Menteri kesembilan Pakatan Harapan (PH) masih belum dimuktamadkan, kini timbul pula dakwaan mengenai calon Timbalan Perdana Menteri PH kononnya bakal digalas bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi hantaran di Facebooknya hari ini dilihat cuba 'menjelaskan' isu yang berlaku susulan pertikaian tidak berkesudahan mengenai pemilihan calon Perdana Menteri kesembilan oleh PH Plus sekali gus mengaitkan nama Mukhriz.

Beliau berkata, PH Plus kini mempunyai dua pilihan sebagai 'jalan keluar' kepada krisis yang berlaku iaitu dengan melantik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan dan Mukhriz selaku timbalannya.

"Ataupun pilihan kedua lantik bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kesembilan untuk tempoh enam bulan atau setahun dan Anwar menjadi timbalannnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemelut calon PM goncang PH

PH perlu segera buat keputusan

"Selepas tempoh yang dipersetujui tamat dan Dr Mahathir berundur, Anwar akan jadi Perdana Menteri, manakala Mukhriz akan menjadi timbalannya," tulisnya.

Katanya, kedua-dua pilihan itu berakhir dengan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberi penjelasan berhubung kekeliruan yang timbul berkaitan usaha PH serta perbincangan dengan gabungan PH Plus bagi mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam siri perbincangan PH Plus, tiada keputusan konklusif dicapai dalam mesyuarat diadakan dan PH juga tidak mengangkat nama lain sebagai calon Perdana Menteri kesembilan melainkan Anwar, sementara Dr Mahathir mencadangkan dirinya sendiri sebagai calon itu dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberi sokongan.

Najib berkata, namun sehingga kini PH Plus masih belum berjaya mencapai persetujuan bersama jika Dr Mahathir akan dicalonkan sebagai Perdana menteri kesembilan untuk tempoh enam bulan atau setahun.

Menurutnya, Perdana Menteri ketujuh (Dr Mahathir) sendiri menolak tempoh enam bulan dan mahukan tempoh setahun, sementara PKR pula percaya Dr Mahathir tidak akan menghormati perjanjian untuk undur diri selepas tempoh-tempoh tersebut.

"DAP dan Amanah (Parti Amanah Negara) sokong Perdana Menteri ketujuh menjadi calon Perdana Menteri kesembilan, manakala PKR sokong Anwar.

"DAP dan Amanah lebih cenderung untuk mengenepikan prinsip perjuangan dan persahabatan mereka dengan PKR kerana mereka percaya menyokong Perdana Menteri ketujuh yang tak suka mereka akan memberi peluang lebih besar untuk merebut balik kuasa secepat mungkin," tulisnya.

Menerusi hantaran sama, Najib menegaskan, selepas tujuh kali bertemu untuk bergaduh dalam tempoh hampir tiga minggu iaitu pada 30 Mac, 1 Jun, 3 Jun, 4 Jun, 9 Jun, 12 Jun dan 13 Jun lalu, PH PLUS umum mereka akan bermesyuarat sekali lagi hari ini (19 Jun) untuk 'terus bergaduh'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!