Terkejut jumpa ular sawa 'berehat' di kebun getah
KUALA NERANG - Seorang penoreh getah terkejut melihat seekor ular sawa batik yang sedang 'berehat' berdekatan pokok getah yang ditorehnya di Kampung Masjid, Naka, dekat sini kira-kira jam 9 pagi tadi.
Bimbang dengan keselamatannya, penoreh tersebut, Siti Khalifah Jaafar, 27, menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Padang Terap.
Pegawai APM Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, tiga anggotanya digerakkan ke kebun getah tersebut dan mendapati seekor ular sawa seberat kira-kira 25 kilogram dengan ukuran lapan meter panjang.
"Anggota kami mengambil masa 30 minit untuk menangkap ular yang bertindak agresif cuba menyerang anggota APM,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Shukri berkata, ular sawa tersebut diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!