Penunggang nyaris maut, motosikal bertembung kereta
HULU TERENGGANU - Seorang penunggang motosikal nyaris maut selepas motosikalnya bertembung sebuah kereta di Kilometer (KM) 01, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris, Kampung Gaung, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian pada jam 9.15 malam itu berlaku ketika motosikal jenis Yamaha 125Z ditunggang mangsa berusia 27 tahun dipercayai dari arah Kampung Tajin, di sini merempuh bahagian pintu kereta jenis Perodua Viva.
Beliau berkata, kereta dipandu wanita berusia 30 tahun ketika itu dalam perjalanan dari arah Pasaraya Nirwana Kuala Berang menghala ke Kedai Durian Din, Kampung Gaung, di sini.
"Difahamkan semasa sampai di simpang tiga Kedai Durian Din Kampung Gaung, wanita bekerja sebagai jurujual itu menyalakan lampu isyarat sebelah kanan dan terus masuk ke simpang selepas yakin tiada lagi kenderaan lain dari arah hadapan namun, setelah masuk separuh simpang secara tiba-tiba datang sebuah motosikal ditunggang mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori tanah lalu merempuh bahagian pintu penumpang belakang sebelah kiri.
"Akibat rempuhan tersebut, mangsa tercampak dan terjatuh di atas jalan lorong sebelah kiri menghala ke simpang tiga lampu isyarat Kampung Gaung di sini," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan pagi tadi.
Mohd Adli berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di anggota badan dihantar ke wad kecemasan Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!