APMM tahan kapal bersauh tanpa kebenaran
MELAKA TENGAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sembilan/ Melaka menahan sebuah kapal dagang yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Bandar Hilir, di sini petang kelmarin.
Pengarahnya, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, kapal sepanjang 235.08 meter berdaftar di Liberia itu ditahan dalam Op Benteng di sekitar perairan Selat Melaka pada kedudukan 4.8 batu nautika barat daya Bandar Hilir dekat sini.
Menurutnya, kapal berkenan dikendalikan dua individu masing-masing nakhoda dan ketua jurutera kapal warga Filipina berusia 56 dan 63 tahun.
"Hasil pemeriksaan ke atas kapal yang berdaftar di Liberia itu, mereka gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan malah APMM sentiasa mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras serta menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!