Kilang Yong Tau Fu 'meloyakan' diarah tutup
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini mengarahkan kilang pemprosesan yong tau fu di Jalan Brunei Selatan Pudu di sini ditutup selepas tidak mencapai piawaian kebersihan ditetapkan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, premis tidak suci itu di arah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuat kuasa esok.
"Pemeriksaan oleh Unit Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL mendapati kilang tersebut kotor dan terdapat lipas. Makanan yang dimasak dibiarkan terdedah selain lantai serta dindingnya 'berdaki' hitam.
"Pengusaha premis juga didapati tidak menyediakan tempat mencuci peralatan sementara peti sejuk serta tempat penyimpanan bahan mentah dalam keadaan tidak terurus dan kotor," katanya.
Katanya, siasatan mendapati seramai 10 pekerja di kilang tersebut termasuk empat warga asing mempunyai suntikan tifoid.
"Bagaimanapun hanya dua pekerja asing mempunyai permit bekerja secara sah iaitu sementara dua yang lain merupakan pemegang kad UNCHR (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian).
"Tempoh 14 hari diberikan kepada pengusaha premis untuk melakukan proses sanitasi dan pembersihan sebelum dibenarkan kembali beroperasi namun bergantung kepada siasatan semula di lokasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!