Amanah persoal sektor perjudian dibenar buka awal
ALOR SETAR - Naib Presiden Parti Amanah Nasional (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mempersoal kewajaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan sektor perjudian beroperasi lebih awal berbanding sektor lain yang lebih penting.
Menurut beliau, amat mengejutkan apabila operator perjudian dibenarkan memulakan semula operasi bermula Rabu lalu sedangkan sektor lain yang lebih rasional belum dibenar beroperasi.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut kesal apabila kerajaan PN yang dibentuk tanpa DAP membuat keputusan berkenaan yang ternyata tidak Islamik.
“Tindakan PN membenarkan operasi pusat judi merupakan keputusan yang mengejutkan padahal kerajaan mereka dibarisi ramai pemimpin berlatar belakangkan pendidikan agama.
"Kerajaan perlu melewatkan operasi perjudian bukan memilih sektor tersebut untuk dibuka lebih awal berbanding masjid yang masih dihadkan operasinya,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mahfuz membangkitkan isu berkenaan selepas tular satu surat yang memaklumkan semua operator perjudian yang dilesenkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dibenarkan beroperasi semula mulai 17 Jun.
Surat yang dikeluarkan pada 16 Jun itu ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dr Anuar Ariffin.
Berdasarkan surat terbabit, kerajaan meminta kerjasama semua operator perjudian untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan dan kawalan Covid-19 seperti lampiran yang disertakan.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, kerajaan PN seharusnya tampil berbeza berbanding pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini sering dikecam kononnya tidak sensitif terhadap isu judi.
“Mereka seharusnya melewatkan atau menyukarkan operasi pusat-pusat judi, sebab masjid nak beroperasi pun masih terhad. Kalau dibandingkan antara masjid dengan pusat judi, saya fikir lebih baik diberikan peluang masjid beroperasi supaya masyarakat dapat mendekatkan diri dengan Tuhan,” katanya.
Menurutnya, tindakan kerajaan PN itu yang sebelum ini pernah membangkitkan isu sama menyerlahkan sikap sebenar mereka yang tidak sensitif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!