Pemuda Sarawak jalan kaki dari Selayang ke KLIA
KUALA LUMPUR - "Dia memang 'gila' la, boleh terfikir nak jalan kaki dari Selayang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mengambil masa 16 jam," kata aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng sebaik dimaklumkan terdapat seorang pemuda berusia 20-an dari Kuching, Sarawak terpaksa memilih untuk ke KLIA kerana tidak mempunyai wang.
Chee Heng yang dikenali dengan nama Uncle Kentang menjelaskan, kakak pemuda itu yang mengenalkan diri sebagai Laura telah menghubunginya bagi meminta pertolongan.
"Semalam saya ada terima mesej dari individu bernama Laura. Dia beritahu adiknya tiada wang, setelah tiga bulan tidak bekerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana.
"Saya terus menghubungi pemuda itu dan memberitahu berada di Jalan Duta selain bertanyakan saya arah ke KLIA.
"Simpati melihat keadaan pemuda tersebut, saya bergegas ke sana untuk menjemputnya dan membawanya ke KLIA kerana tiket penerbangan pada jam 5 petang. Jika dia mahu berjalan memang tidak sempat," katanya kepada Sinar Harian.
Ketika ditemui katanya, pemuda berkenaan hanya berbekalkan sebotol air minuman.
"Saya terkejut apabila dimaklumkan dia tiada makanan, telefon pun bukan telefon pintar. Air pun sudah habis. Memang dia tiada wang langsung.
"Saya telah memberinya wang RM200 untuk membeli makanan sebaik tiba di Kuching," katanya.
Chee Heng pernah berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada sekitar 80-an tampil dengan pelbagai inisiatif membantu golongan memerlukan berkata, pemuda berkenaan selamat tiba di Kuching jam 9 malam tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!