Tawaran DBKL merugikan PHKL
PERSATUAN Hoki Kuala Lumpur (PHKL) tidak bersetuju dengan tawaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya persatuan itu menguruskan Stadium Hoki Kuala Lumpur kerana terpaksa menanggung bebanan kewangan tinggi.
Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, Jawatankuasa Stadium PHKL yang ditubuhkan pada November 2019 mendapati anggaran kos terpaksa ditanggung berjumlah RM30,100 lebih tinggi berbanding tawaran peruntukan pengurusan sebanyak RM19,000 sebulan yang dibayar oleh DBKL.
Beliau mendakwa, situasi itu menyebabkan kepimpinan lama PHKL iaitu sebelum beliau mengambil alih pucuk pimpinan pada Julai tahun lepas terpaksa menanggung bebanan hutang melebihi RM100,000 kerana tidak mampu menampung pembayaran utiliti seperti bil elektrik dan air serta komitmen penyelenggaraan bulanan yang tinggi.
“Kami dapati tawaran itu amat membebankan sebuah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan kerana terpaksa menanggung anggaran defisit peruntukan bulanan tinggi dan ia antara sebab mengapa pihak kepimpinan baharu PHKL cuba berunding dengan DBKL bagi mendapatkan terma perjanjian kontrak pengurusan yang lebih memihak kepada kedua-dua pihak.
“Lanjutan itu, PHKL menghantar surat balas pada 28 Januari lepas dengan mengemukakan cadangan untuk DBKL meminda tawaran tersebut, iaitu jumlah peruntukan bulanan kepada PHKL adalah RM12,000 sahaja dengan kos bulanan elektrik dan air menjadi tanggungjawab DBKL; dan terma-terma lain dalam kontrak itu kekal.
“Namun, pihak DBKL bertindak balas dengan mengeluarkan notis menarik balik tawaran kontrak dan seterusnya menamatkan rundingan dengan PHKL serta mengarahkan kami untuk mengosongkan ruang pejabat dan bilik dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat dikeluarkan pada 9 Mac 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Megat berkata, barisan kepimpinan PHKL ingin memohon maaf di atas segala kesulitan yang timbul dan berharap penjelasannya dapat membantu warga hoki Kuala Lumpur memahami situasi itu dengan lebih jelas.
Pada masa masa, beliau menegaskan bahawa sekiranya perlu, pihaknya tidak keberatan untuk membuat laporan polis dan tindakan undang-undang ke atas individu yang membuat kenyataan berbaur hasutan dan ingin menjejaskan kredibiliti serta hubungan baik antara PHKL dan DBKL.
DBKL menerusi kenyataan semalam berkata, pihaknya terpaksa mengeluarkan notis pengosongan kerana PHKL tidak memberi sebarang maklum balas dalam tempoh ditetapkan bagi surat peringatan bertarikh 14 November 2019 dan menghendaki PHKL menyerahkan semula pengurusan Stadium Hoki Kuala Lumpur kerana kegagalan untuk mematuhi kesemua pra-syarat awalan seperti ditetapkan.
Perjanjian pertama antara kedua-dua pihak dibuat selama 15 tahun bermula 1998 hingga 2013 dan PHKL dibantu dengan yuran pengurusan oleh DBKL sebanyak RM10,000 sebulan bagi melaksanakan semua pengurusan dalam tempoh itu.
Perjanjian kedua dimeterai untuk pelanjutan tempoh lima tahun dari 1 September 2013 hingga 31 Ogos 2018 dengan bantuan yuran pengurusan oleh DBKL sebanyak RM19,000 sebulan, manakala lanjutan seterusnya ditawarkan oleh DBKL pada April 2019 untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Mei 2019 hingga 30 April 2022 dengan kadar yuran pengurusan dikekalkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!