UiTM sedia geran RM3.55 juta bagi penyelidikan pasca PKP

Profesor Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim
Profesor Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyediakan geran berjumlah RM3.55 juta bagi memperkasakan penyelidikan dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Naib Canselornya, Profesor Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim berkata, pemberian geran berkenaan bertujuan menggalakkan warga universiti untuk lebih aktif dalam agenda penyelidikan berimpak tinggi.

Beliau berkata, geran itu yang disediakan menerusi Dana Kecemerlangan Pendidikan dan Tabung Endowmen juga antara inisiatif di bawah Perancangan Strategik UiTM2025.

"Pelaksanaan ini bagi merancakkan budaya penyelidikan translasional yang dapat memberi manfaat kepada pihak industri, masyarakat dan negara.

"Inisiatif dan insentif yang disediakan dilakukan berdasarkan situasi semasa supaya ahli akademik menggunakan ilmu dan kepakaran mereka dalam menangani isu kemasyarakatan dan negara terutama berkaitan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, geran yang akan dibuka pada Julai depan itu juga dilihat dapat mengenal potensi penyelidik berkualiti, berprofil tinggi serta penyelidik pelawat, terutama mereka yang baru menamatkan pengajian dalam bidang doktor falsafah (PhD) dan pasca kedoktoran.

Katanya, UiTM turut menggalakkan penyelidik yang mempunyai latar belakang pendidikan dari luar negara supaya mengadakan kolaborasi dengan bekas penyelia.

"Geran ini memberi tumpuan kepada enam bidang penyelidikan UiTM iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan, Kreativiti Sosial dan Inovasi,Teknologi Siber, Tenaga dan Alam Sekitar, Logistik dan Pengangkutan, serta Teknologi Industri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, penyelidik perlu merebut peluang bagi mendapatkan peruntukan geran untuk menjalinkan kolaborasi dengan rakan-rakan serta bekas penyelia mereka di luar negara.

"Jumlah peruntukan tertakluk kepada skop dan keperluan sesuatu penyelidikan tersebut," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!