Tidak pernah mohon pembelian aset baharu di Seri Bendahara
MELAKA TENGAH - Bekas Ketua Menteri, Adly Zahari mengakui permohonan untuk menukar beberapa perabot serta permaidani di Seri Bendahara tidak pernah dibuat ketika di bawah pentadbiran beliau.
Adly berkata, ketika di awal pentadbiran beliau di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), beliau ditawarkan untuk membuat pengubahsuaian perabot namun tidak menjadi keutamaan ketika itu kerana PH mementingkan penjimatan perbelanjaan.
Bagaimanapun menurutnya, permohonan berkenaan berkaitan kos penyelenggaraan bangunan berkenaan kerana masih digunakan bagi program bertemu rakyat dan diskusi tetapi bukan permohonan pengubahsuaian dan pembelian perabot baharu.
"Memang perabot sedia ada agak lama tetapi masih lagi boleh dimanfaatkan untuk penggunaan semasa dan permohonan ketika itu ialah kos penyelenggaraan bangunan, landskap tetapi tidak termasuk pembelian aset baharu.
"Seharusnya dalam keadaan rakyat terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19) dan kita kekurangan hasil selain rakyat kehilangan pekerjaan, keutamaan bukan itu (mengubahsuaian perabot) sewajarnya perbelanjaan berhemah mesti menjadi keutamaan kerajaan negeri," katanya ketika sidang akhbar di Graha Amanah di Bukit Katil di sini, hari ini.
Terdahulu, Adly memaklumkan PH Melaka telah memfailkan saman pemula kepada tiga individu di Mahkamah Tinggi Melaka termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melalui dua peguam yang mewakili mereka Rabu lalu.
Adly yang juga Pengerusi PH Melaka berkata, beliau turut menolak dakwaan di media sosial mengenai perbelanjaan lebih setengah juta bagi kos penyelenggaraan di rumah tamu di Bukit Peringgit ketika mendiami rumah kerajaan itu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu, sepanjang tahun lalu hanya RM18,000 kos penyelenggaraan rumah kediaman tersebut dan sewajarnya pihak yang membuat serangan di media sosial mengemukakan fakta tepat dan bukan menabur fitnah.
"Kita tidak melakukan ubah suai di rumah tamu, saya harap segala tohmahan harus kita lawan dengan fakta yang benar.
"Kalau ada perkara berbangkit boleh dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri dan kita juga akan membangkitkan isu mengenai perbelanjaan berhemah," katanya.
Beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai kerja-kerja menyelenggarakan kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka itu termasuk menggantikan sofa serta permaidani baharu.
Beberapa keping gambar barangan perabot baharu, turut dimuat naik di Facebook, oleh sebuah syarikat perabot yang beralamat di Bangi, Selangor sebelum pihak syarikat terbabit memadamkan gambar tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!