[VIDEO] Ingatkan ada pemandu, rupa-rupanya...
PUTRAJAYA - Seorang pegawai kerajaan terkejut melihat sebuah kereta jenis Perodua Kelisa tanpa pemandu yang mengundur tanpa henti menimbulkan ketakutan kepada pengguna jalan raya di sini.
Mohd Reza Faiz Mohamad Zulkifli, 31, berkata, kejadian itu berlaku sewaktu pulang dari pejabat dan singgah sebentar di Presint 15 Putrajaya untuk beli makanan.
"Sedang menunggang motosikal di jalan tersebut, saya dapati kereta Kelisa mengundur secara perlahan. Jadi saya ambil langkah selamat kekalkan jarak, semasa kereta itu mengundur.
"Tapi bila kereta itu berundur dengan kadar sangat perlahan, terdetik dalam hati kenapa perlahan sangat? Baru belajar pandu kereta? Atau pemandu takut untuk mengundur?," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohd Reza, apabila melihat kereta itu terus berundur, pelbagai perkara terlintas dalam fikirannya ketika itu.
"Bila kereta itu mengundur melebihi daripada yang sepatutnya, saya jangkakan ada sesuatu yang tidak kena.
"Mata saya terus cuba fokus pada ruang tempat duduk pemandu, dan jangkaan saya benar, kereta melungsur tanpa pemandu kerana brek tangan tidak ditarik seperti yang sepatutnya sewaktu parkir kenderaan," katanya.
Mohd Reza berkata, dia juga beberapa kali membunyikan hon kerana beranggapan mungkin terdapat penumpang di dalam kereta itu.
"Namun tiada sesiapa dalam kereta, jadi secara spontan saya turun dari motosikal untuk tahan kereta itu.
"Saya menahan kereta supaya berhenti, lebih kurang 30 saat sehingga pemilik kenderaan keluar dari sebuah kedai, lalu terus menekan brek kaki dari dalam kereta," ujarnya.
Jelasnya, pemilik kereta juga mengucapkan terima kasih atas bantuannya.
Ditanya adakah dia menjangkakan video durasi hampir 2 minit yang dirakam itu tular di laman sosial, Mohd Reza memberitahu, perkongsian itu sekadar memberi pengajaran kepada orang ramai supaya mengutamakan keselamatan.
"Pada mulanya saya hanya berkongsi video tersebut untuk rakan-rakan dalam media sosial sahaja dan ia dimuat naik untuk kenangan peribadi, namun isteri berpendapat untuk membuka status video tersebut untuk tatapan umum.
"Selain itu, supaya orang ramai dapat melihat bertapa pentingnya brek tangan semasa meletakkan kenderaan di tempat parkir," katanya.
Terdahulu, video milik Mohd Reza tular di laman sosial dan ditonton hampir 80,000 tontonan sejak dimuat naik pada 16 Jun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!