Budak 'ajaib', terselamat selepas jatuh dari tingkat 29
BEIJING - Seorang budak lelaki berusia tiga tahun terselamat selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah unit rumah flat semasa ditinggalkan bersendirian di bandar raya Changzhou baru-baru ini, lapor portal MailOnline pada 18 Jun lalu.
Budak itu yang hanya dikenali dengan nama samaran Yang Yang memanjat tingkap dapur unit rumah tersebut menggunakan bangku sebelum jatuh hampir 91.44 meter ke batas pokok bunga di bawah apartment, kata bapanya kepada seorang pemberita.
Dia kini mengalami kecederaan kritikal selepas dibawa ke sebuah hospital, tetapi keadaannya stabil selepas sembilan hari mendapatkan rawatan.
Kejadian itu berlaku pada waktu tengah hari pada 8 Jun lalu di bandar raya tersebut, lapor China News.
Ibu bapanya dikatakan merupakan pekerja migran dari wilayah Henan.
Nenek Yang Yang diminta oleh ibu bapa mangsa supaya menjaganya semasa mereka sedang bekerja.
Menurut bapanya yang dikenali sebagai Zhou, Yang Yang ditinggalkan sendirian menonton televisyen ketika neneknya ke bilik mengambil barang.
Namun, apabila nenek budak lelaki tersebut kembali ruang tamu 10 minit kemudian, dia gagal mencari cucunya itu.
Lebih mengerikan, dia mendapati tingkap dapurnya yang tertutup didapati telah terbuka.
"Dia akhirnya mendapati cucunya berada di atas batas pokok bunga di bawah bangunan.
"Selepas melihat cucunya, dia menjerit sebelum pitam," kata Zhou kepada kumpulan Televisyen dan Radio Jiangsu.
Dia mendakwa pokok-pokok bunga di luar kediaman itu telah rosak akibat hentakan badan Yang Yang, namun ia telah berjaya mengelakkan mangsa mengalami kecederaan lebih teruk.
Dr. Zhou Guojin iaitu Pengarah Jabatan Pusat Perubatan Intensif di hospital bandar raya tersebut berkata, budak lelaki tersebut berada dalam keadaan kritikal ketika dibawa ke hoaspital.
Dia berkata, Yang Yang berada dalam keadaan terkejut dan mengalami kegagalan dalam sistem pernafasan.
Mangsa juga mengalami pendarahan, luka pada paru-paru, lebam di kedua-dua buah pinggang, tulang rusuk patah dan pendarahan dai bahagian pencernaan.
Pihak hospital menubuhkan sebuah pasukan yang terdiri daripada 10 orang pakar dari pelbagai jabatan dan merawat Yang Yang dalam unit rawatan rapi selama lebih seminggu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!