[VIDEO] 'Terketar-ketar dia tahan sakit depan aku...': Erma Fatima
"KAU lulus temu duga ini bukan kerana kau kemalangan tetapi kerana kecekalan kau dik," demikian luah pengarah dan pelakon terhebat, Erma Fatima terhadap seorang calon temu duga yang gigih datang ke pejabatnya meskipun terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Erma Fatima berkata, pemuda itu terlibat kemalangan langgar lari dengan sebuah kenderaan semasa dalam perjalanan untuk menghadiri temu duga.
"Sebak mendengar kerana dia masih datang dalam keadaan berdarah. Terketar-ketar dia depan aku menahan sakit.
"Suruh dia pergi hospital namun tetap paksa aku temu duga dia. Memang kau sangat cekal dik, susah nak dapat orang secekal ini," tulisnya di entri Instagram miliknya.
Jelas pelakon drama bersiri Mak Cun itu, pemuda terbabit yang kemudian mendapatkan rawatan mengalami patah rusuk dan hati bengkak.
"Dia mesej kata mungkin sebulan lagi akan pulih dan suruh bagi jawatan itu kepada orang lain.
"Akak akan tunggu, kau lulus temu duga ini bukan kerana kau kemalangan tetapi kerana kecekalan kau dik.
"Begitulah juga dedikasi kau dalam mencari rezeki," katanya mendoakan pemuda itu agar lekas sembuh.
Perkongsian entri tersebut meraih simpati peminatnya malah memuji keikhlasan dan kesungguhan pemuda berkenaan.
Tidak kurang juga menyelar tindakan pemandu kenderaan yang melanggar pemuda tersebut tanpa bertanggungjawab atas perkara yang berlaku.
Erma Fatima juga memuat naik rakaman video kemalangan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!