Gila sebelum gila
MUNGKIN tajuk ini agak kasar bunyinya. Namun itulah hakikat sebenar kehidupan hari ini. Nampaknya masih ramai yang belum sedar bahawa gila itu bukanlah terhad kepada individu yang sakit otak semata-mata, namun berkaitan juga dengan sikap seharian kita.
Apa tidaknya, kadangkala kita terlalu leka gilakan dunia sehingga lupa tanggungjawab kita sebagai hamba ALLAH. Kadangkala, kegilaan kita terhadap dunia menyebabkan ramai yang menjadi gila kerana terpengaruh dengan kegilaan kita. Apa yang jelas, sesiapa pun tidak mengaku mereka ada ‘penyakit’ gilakan dunia sehingga mereka diberi petunjuk dan hidayah daripada ALLAH.
Sebetulnya, maksud perkataan gila dalam perbendaharaan Bahasa Melayu cukup luas dan merangkumi banyak makna. Selain sakit otak, perkataan gila juga merujuk kepada sikap yang tidak boleh diterima akal, terlalu berahi dan asyik terhadap sesuatu, suka mengelamun dan tidak berpijak kepada realiti, mengejar pangkat, tidak senonoh, melampaui batas dan sebagainya lagi.
Pendek kata, ungkapan maksud gila adalah terjemahan daripada perkataan gila bayang, gila talak, gila pangkat, gila bahasa, menggilai, tergila-gila serta banyak lagi contoh yang tidak terungkap di sini. Apa yang jelas, kesemua maksud tersebut adalah sinonim dengan fenomena tidak seimbang dan tidak bersikap sederhana dalam diri seseorang.
Betapa pentingnya keseimbangan dalam kehidupan adalah dijelaskan menerusi firman ALLAH: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan ALLAH kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba ALLAH) sebagaimana ALLAH berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas, 28:77). Malah para hukama’ berkata, “ Dunia dijadikan untuk manusia dan manusia dijadikan untuk akhirat”. Ini bermakna dunia harus dibangunkan menurut keredaan ALLAH dan merupakan ladang untuk ke akhirat.
Pada hemat saya, masih ramai yang semakin jauh dengan nilai-nilai keseimbangan dan kesederhanaan dalam diri. Akibat gilakan glamor betapa ramai yang sudah hilang maruah diri. Akibat gilakan politik, betapa ramai yang diperbodohkan sehingga lupa hak mereka dalam sistem demokrasi dan perlembagaan negara. Akibat gilakan pangkat dan harta, betapa ramai yang telah dianiayai dan disisihkan hak mereka.
Berkaitan hal tersebut, menurut Pak Hamka menerusi bukunya Peribadi Hebat, kita perlu membina perasaan halus dalam diri kerana boleh tahu akan ribut yang mendingin, tahu akan renggas yang melenting, tahu akan sindir bayangan kata-kata. Menurut beliau lagi, “Jika kakimu terhantuk kepada batu, inailah jadi ubatnya, tetapi jika lidahmu yang terlanjur, maka emaslah pembayarnya.” Ini bermakna, jiwa yang halus dapat menjauhi diri kita daripada menjadi gila dengan sikap agresif, berkepentingan diri, tertutup dengan kebenaran serta sifat tinggi diri.
Pun begitu, terdapat juga yang jadi gila kerana tidak sanggup memikul amanah dan kelebihan yang diberikan oleh ALLAH kepadanya. Kisah ini diriwayatkan berlaku pada suatu masa dahulu terhadap seorang insan yang cukup warak dan berilmu. Beliau cukup baik dan disukai oleh ramai orang kerana sentiasa membantu sesiapa sahaja yang meminta pertolongan daripadanya. Beliau juga diberikan kelebihan oleh ALLAH untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Lama-kelamaan, beliau cukup letih dengan kunjungan orang ramai yang tidak henti-henti datang ke rumahnya. Lantaran itu, beliau telah berdoa kepada ALLAH untuk dilepaskan tanggungjawab tersebut. Akhirnya doa beliau dimakbulkan dengan dikurniakan penyakit gila dan secara langsung dilepaskan tanggungjawabnya sebagai khalifah di bum.
Rumusannya, kita perlu seimbang, sederhana, berjiwa halus serta memikul amanah sekiranya tidak mahu menjadi gila.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!