Bukan RM5 juta tapi lebih RM7 juta
KAFA
A
A
A
Dakwa sumber kepada Sinar Harian, ia berdasarkan semua tuntutan terhadap KAFA membabitkan pemain dan pegawai pasukan dari tahun 2014 hingga 2018 yang dikendalikan pihak pengurusan sebelum ini.
Sumber itu turut mendakwa, perancangan tidak bersistematik menyebabkan pengurusan baharu KAFA terpaksa berdepan kesan berpanjangan dalam usaha menyelesaikan segala hutang lapuk tersebut.
"Semua orang di luar sana ingat KAFA terpaksa menanggung hutang lapuk RM5 juta, tapi sejujurnya hutang sebenarnya terpaksa diselesaikan persatuan melibatkan bekas pemain dan bekas pegawai adalah melebihi RM7 juta.
"Sebahagian besar hutang lapuk yang gagal diselesaikan sehingga kini datangnya sejak tahun 2014 hingga 2018. Jadi inilah realiti yang terpaksa dihadapi pengurusan baharu yang mana sebenarnya boleh diambil sedikit tanggungjawab pengurusan terdahulu dalam berganding bahu menyelamatkan masa depan bola sepak Kelantan.
"Alhamdulillah, biarpun KAFA dalam situasi kritikal sebegini, masih terdapat dalam kalangan penyokong setia The Red Warriors khasnya rakyat Kelantan yang tidak mahu bola sepak negeri ini mati terus menerus menghulurkan derma ke Tabung Selamatkan Bola Sepak Kelantan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut sumber itu lagi, biarpun barisan kepimpinan baharu KAFA terus menerus diasak dengan tuntutan hutang lapuk sejak mengambil alih persatuan tahun lalu, namun komitmen padu dalam kalangan mereka berjaya menyelesaikan tunggakan gaji berjumlah hampir RM2.23 juta.
"Bagi menghabiskan baki saingan Liga-M yang dijangkakan bermula September depan, saya positif KAFA telah melakukan beberapa pendekatan berhemah dalam mengurus perbelanjaan pengurusan pasukan yang terkesan impak pandemik Covid-19," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!