PRK DUN Chini bermula dengan penamaan calon pagi ini

No Image Caption
A
A
A

PEKAN - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bermula hari ini dengan proses penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini dibuka pada jam 8 pagi.

Berikutan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia, PRK kali ini 'mencipta sejarah', apabila bakal menyaksikan kebiasaan baharu dalam perjalanan pilihan raya di negara ini.

Proses penamaan itu akan bermula pada jam 9 pagi dengan bakal calon diberi tempoh sejam sehingga jam 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.

Bagaimanapun hanya calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka, dibenarkan masuk ke dalam dewan utama itu bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Selepas itu, Pegawai Pengurus PRK Datuk Zaliza Zulkipli akan mengumumkan nama calon yang layak bertanding dijangka pada jam 11 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu khusus bagi PRK Chini, untuk mengelakkan berlaku ‘kluster pilihan raya’, dalam keadaan negara sudah semakin berjaya mengawal penularan wabak itu.

Berdasarkan SOP itu, penyokong parti dilarang berada di pusat penamaan calon selain tiada perarakan atau perhimpunan dibenarkan, berlainan daripada kebiasaan PRK yang meriah dengan sorakan dan laungan daripada penyokong parti dan calon yang bertanding. Penyokong calon dan parti hanya boleh berada 1.5 kilometer dari pusat penamaan calon bagi menjaga jarakan sosial.

Selain SPR, kakitangan Kementerian Kesihatan merupakan agensi penting pada PRK kali ini, dengan kehadiran mereka di pusat penamaan calon sebagai persediaan, sekiranya terdapat calon, penyokong, atau pencadang, mempunyai gejala Covid-19 sebagai langkah berwaspada.

Artikel Berkaitan:

PRK ke-11 sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu menjadi 'ujian pertama' buat kerajaan Perikatan Nasional, sejak mula terbentuk pada Februari lalu, selain kesinambungan kerjasama Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas, yang mula terbentuk sejak PRK Parlimen Cameron Highlands.

Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan Mohd Sharim Md Zain, 41, yang merupakan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, sebagai calon mereka untuk mempertahankan kerusi tradisi UMNO, memandangkan DUN Chini adalah kubu kuat BN.

Walaupun Pakatan Harapan (PH) sudah memutuskan tidak meletakkan calon pada PRK itu namun Mohd Sharim yang merupakan generasi kedua Felda Chini dijangka ditentang, memandangkan seorang calon Bebas sudah mengumumkan hasrat bertanding.

Ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, mengumumkan akan bertanding menggunakan simbol rumah, dan membawa manifesto 'Menjadi Suara Rakyat Chini' pada PRK itu.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur, akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11.

Pada PRU14 lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi, selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon Pas Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi, manakala Mohamad Razali Ithnain daripada PKR sekadar memperoleh 1,065 undi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!