Al-Ikhsan buka cawangan ke-4 Football Republic
AL-IKHSAN Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan) membuka cawangan ke empat gedung gaya hidup bola sepak, Football Republic di sini, tahun ini.
Empat gedung lain adalah di Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Johor Bahru, menjadikan nilai keseluruhan pelaburan RM2 juta.
Ketua Pemasaran Al-Ikhsan, Mizal Ghazali berkata, pihaknya melabur sekitar RM300,000 bagi setiap cawangan Football Republic bagaimanapun untuk tahun ini ada sedikit pertambahan berikutan cawangan Johor Bahru lebih besar.
“Pembukaan cawangan baharu itu dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Al-Ikhsan sebagai peneraju penjual barangan keperluan bola sepak yang serba lengkap di bawah satu bumbung.
"Terutama sekali dari segi kualiti dan premium. Peminat boleh mendapatkan peralatan bola sepak yang lengkap di Football Republic yang tidak ada dijual di tempat lain, kita bekerjasama dengan rakan niaga seperti Nike, Adidas, Puma dan Umbro untuk membawanya ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelancaran cawangan Football Republic di Kuantan yang disempurnakan Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Jurulatih Pahang FA, Dollah Salleh dan Ketua Pasukan Pahang, Matthew Davies.
Mizal turut mengumumkan penajaan skuad Pahang oleh Al-Ikhsan dalam bentuk peralatan bola sepak untuk tempoh dua tahun sehingga 2020.
Dalam pada itu, Mizal turut menyeru peminat bola sepak untuk menyokong pembelian barangan sukan yang asli kerana hasilnya adalah untuk pembangunan sukan bola sepak negara juga.
“Saya menyeru peminat supaya membeli barangan asli, perkara ini sangat serius kerana ada laporan menyebut jumlah dagangannya melebihi RM1 bilion.
"Ke mana wang itu pergi...ia tidak membantu pasukan bola sepak negara kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!