Jual ikan kering sara tujuh anak

Rohayati menerima sumbangan disampaikan Shazuwan di kediamannya di Klewek di sini.
Rohayati menerima sumbangan disampaikan Shazuwan di kediamannya di Klewek di sini.
A
A
A

TANAH MERAH - Hanya berbekalkan dengan menjual ikan kering termasuk mengambil upah mengemas rumah sebanyak RM20 sehari, seorang ibu tunggal tujuh anak nekad menyara kehidupan mereka sekeluarga walaupun turut mengalami masalah kesihatan.

Rohayati Roni, 33, tidak mampu melakukan kerja-kerja berat ekoran menghadapi penyakit jantung, buah pinggang rosak tahap dua, dan penglihatan kabur berpunca dari penyakitnya itu.

Lebih memeritkan kehidupan ibu itu, anak sulungnya, Roselina Abdullah,16, juga mengalami masalah injap jantung rosak.

Rohayati juga menambah, bebanan dirinya bertambah kerana dia bersama tujuh anak berumur antara 4 hingga 16 tahun, terpaksa tinggal di rumah yang disewa dengan bayaran RM150 sebulan yang hanya mempunyai dua bilik tidur.

Dengan upah sebanyak RM20 sehari, Rohayati terpaksa berjimat cermat memandangkan dari sumber itulah dia menampung kehidupan seharian selain memperolehi bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Menurut Rohayati, dia dan anak sulungnya, Roselina, juga perlu berulang alik ke Hospital Tanah Merah untuk menjalani rawatan susulan ekoran penyakitnya itu dengan menunggang motosikal.

"Inilah kenderaan yang saya gunakan untuk menjalankan urusan harian termasuk menghantar anak-anak saya ke sekolah.

"Buat masa ini, saya memerlukan bantuan kewangan untuk membiayai kos perbelanjaan sekolah anak-anak di samping kos pengangkutan ulang alik ke hospital.

Artikel Berkaitan:

"Lagipun kos perbelanjaan yang diperolehi dari wang ambil upah jual ikan kering dan kemas rumah dan bantuan bulanan JKM saya simpan untuk belanja dapur dan sewa rumah.

"Itupun tidak mencukupi kerana kos belanja ke hospital, duit minyak dan belanja sekolah anak-anak terpaksa saya catu," katanya.

Rohayati ditemui dalam kunjungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Jom Cakna Asnaf di kediamannya di Klewek di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!