Kenyataan Manogaran tak berasas: Ramli
CAMERON HIGHLANDS - Calon BN, Ramli Mohd Nor menyifatkan kenyataan lawannya, M Manogaran berhubung dakwaan wujud amalan kronisme dalam lantikan Ahli Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) sebagai tidak berasas.
Menurutnya, kenyataan itu tidak lain tidak bukan demi meraih sokongan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
"Saya turut ingin menyangkal dakwaan Manogaran kononnya pelantikan Ahli-ahli Majlis bagi MCDH adalah kronisme dan bukan daripada orang tempatan.
"Saya menganggap ini adalah satu kenyataan yang tidak berasas untuk meraih undi bagi mendapatkan sokongan rakyat di Pilihanraya Kecil Cameron Highlands nanti," katanya melalui satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Manogaran mendakwa lantikan ahli majlis di daerah ini bukan dalam kalangan anak tempatan malah ada yang tinggal di luar kawasan.
Menurut Ramli, kerajaan negeri amat mementigkan komposisi kaum dan jantina dalam lantikan tersebut.
"Sebetulnya, Kerajaan Pahang amat teliti dalam pelantikan ini. Hanya mereka yang menetap dalam kawasan Cameron Highlands sahaja akan dipilih dan dilantik sebagai Ahli Majlis.
"Malah kerajaan negeri juga mementingkan soal komposisi kaum dan jantina sebab itu ada Orang Asli, wanita, golongan muda serta wakil badan-badan bukan Kerajaan (NGO) dalam ahli majlis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!