Masih belum terima surat gugur keahlian: Tengku Zainul Hisham
KUANTAN - Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin belum menerima sebarang surat atau makluman rasmi berkenaan pengguguran keahlian daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Katanya, beliau menganggap masih sah sebagai Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pekan dan ahli parti itu selagi belum menerima surat rasmi daripada pucuk pimpinan parti.
"Saya masih ahli Bersatu. Walaupun tahu tindakan ini (bertanding) boleh menggugurkan keahlian namun terpulang kepada pucuk pimpinan dan akur dengan setiap keputusan parti," katanya selepas berakhirnya proses penamaan calon di DUN Chini di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Pertandingan tiga penjuru di PRK DUN Chini
Tengku Zainul Hisham berdepan dengan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Shahrim Md Zin dan seorang lagi calon bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli.
Menurutnya, sepanjang kempen PRK, beliau terpaksa bergerak secara bersendirian kerana bertanding atas tiket Bebas.
Bagaimanapun katanya, semua jentera untuk berkempen sudah diaturkan dengan sebaiknya.
"Saya bertanding ini di atas permintaan masyarakat di Chini.. jadi saya berkorban untuk dibuang oleh parti.
"Terpulang kepada pengundi....kalau terpilih saya akan bawa suara mereka ke atas dan pikul amanah yang diberikan sebaiknya," katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zainul Hisham selepas akan menggerakkan kempen PRK dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas selesai proses penamaan calon.
Jelasnya, menerusi cara berkempen secara ceramah dan dari rumah ke rumah sahaja dapat bertemu pengundi secara dekat.
"Peluang ini kita akan gunakan dengan sebaiknya untuk terus mendekati pengundi," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Penamaan calon PRK DUN Chini dibuka jam 9 pagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!