Keane mahu tumbuk de Gea, kritik persembahan Maguire dan Shaw
LEGENDA Manchester United, Roy Keane membidas prestasi yang ditampilkan penjaga gol United, David de Gea; pertahanan tengah, Harry Maguire dan Luke Shaw selepas The Red Devils hanya mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.
Menurut Keane, de Gea perlu melakukan lebih baik ketika menyelamatkan tendangan Steven Bergwijn yang menghadiahkan gol buat Spurs selain pertahanan United, Maguire dan Luke Shaw seharusnya cepat menutup ruang mengelakkan pemain itu melakukan percubaan.
“Saya terkejut dengan gol tersebut. Saya menonton banyak perlawanan bola sepak dan untuk memberikan gol mudah tersebut sangat tidak patut.
"Saya sangat kecewa dengan de Gea. Kalau boleh saya mahu menumbuk dia. De Gea seharusnya melakukan lebih baik menyelamatkan percubaan itu," katanya.
Dalam perlawanan itu, Bergwijn membuka tirai jaringan pada minit ke-27 sebelum United menyamakan kedudukan melalui tendangan penalti Bruno Fernandes pada minit ke-81.
"Saya juga tidak percaya tindakan Shaw dan Maguire gagal menutup ruang dengan baik. Sebagai seorang pemain antarabangsa, mereka harus cekap di posisi mereka
"Kalau saya jadi Ole (Gunnar Solskjaer) saya tidak akan benarkan Maguire dan de Gea menaiki bas pulang ke Old Trafford. Biarkan mereka menaiki teksi," katanya.
Kata Keane, United seharusnya memenangi perlawanan menentang Spurs itu dalam usaha menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik dan layak beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.
"United mahu berada dalam empat terbaik dan menang piala, tapi dengan ada pemain seperti Maguire dan de Gea, mereka boleh melupakannya.
"Pemain lain bermain dengan baik tetapi sudah tentu akan kecewa jika rakan sepasukan mereka melakukan kesilapan mudah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!