KKMM bantu syarikat produksi banyakkan filem, drama

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menumpukan pada usaha membantu syarikat produksi menghasilkan lebih banyak filem dan drama dalam tempoh enam bulan akan datang menerusi pinjaman mudah berjumlah RM100 juta di bawah Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementerian menyedari ramai pemain industri perfileman dan seni terkesan kerana tidak dapat beroperasi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

“Sehubungan itu, dalam masa enam bulan ini kita akan gunakan dana yang disediakan melalui Penjana ini serta mana-mana dana yang ada dengan sebaiknya kerana kita faham tiga bulan lepas tiada penggambaran dijalankan.

“Ada syarikat produksi kecil yang sebelum ini tiga bulan tiada kerja dan apabila mahu mula penggambaran semula, mereka tidak dapat melakukannya kerana tiada dana...sebab itu pinjaman ini disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi pelakon veteran Abu Bakar Juah, 72, yang menghidap kanser hati di kediaman pelakon itu di Alam Damai, Cheras di sini hari ini, bersempena Program Ziarah Kasih anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Pada lawatan itu, Saifuddin turut menyampaikan sumbangan kepada Abu Bakar yang pernah menjawat jawatan Pengarah Penjara di Penjara Taiping sebelum bersara pada tahun 2005.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kebenaran untuk industri perfileman beroperasi semula bukan hanya memanfaatkan pemain industri tersebut tetapi turut membawa impak besar kepada ekonomi secara keseluruhannya.

“Yang lain juga akan mendapat manfaat, bila ada penggambaran, ada keperluan untuk perkhidmatan makanan dan pengangkutan. Produksi filem dan drama ini memberi peluang pekerjaan kepada ramai orang secara langsung,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!