Hannah beri keterangan status Twitter Selasa ini
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh akan memberi keterangan di Bukit Aman Selasa ini berhubung tulisannya di Twitter mengenai kahwin bawah umur pada Mac lalu.
Hannah berkata, beliau akan memberikan respon lanjut berhubung isu itu sejurus sesi soal siasat ke atasnya selesai.
Beliau bagaimanapun berpuas hati dengan jawapan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyifatkan polis memanggil pemimpin politik bukan bermotif politik.
"Saya gembira dengan kenyataan KPN yang tujuan saya dipanggil bukan untuk menakut-nakutkan pemimpin parti pembangkang.
"Saya percaya jaminan KPN itu dan akan memberikan kerjasama dengan polis untuk merakam percakapan," katanya selepas meninjau Taman Tasik Manjalara hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Panggil pemimpin politik bukan suatu desakan: KPN
Terdahulu Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi status di Twitternya bertarikh 9 Mac mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah timbalan menteri sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff.
Susulan itu, beliau disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
[ARTIKEL BERKAITAN] - PDRM siasat pemilik akaun Facebook 'Hannah Yeoh'
Sementara itu Abdul Hamid semalam menjelaskan memanggil pemimpin politik tidak dipengaruhi oleh agenda atau motif tertentu sebaliknya bagi melengkapkan proses siasatan laporan mengikut garis panduan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau menafikan dakwaan kononnya tindakan polis bertujuan menakut-nakutkan atau mengambil kesempatan ke atas pemimpin politik tertentu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!