Isu tarian: Kerajaan digesa segera ambil tindakan
SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas dan segera bagi menegur selain memulihkan keadaan, susulan isu tarian sepentas membabitkan beberapa individu penting dalam institusi kehakiman dan perundangan.
Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Ahmad Azam Abd Rahman berkata, ia bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada integriti badan kehakiman dan penjawat-penjawat tinggi undang-undang negara.
"Suatu keadilan bukan hanya perlu dilakukan tetapi mesti juga dilihat dilakukan," katanya dalam satu kenyataan.
Jumaat lalu, tular sebuah klip video menunjukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong bersama Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, Peguam Negara, Tommy Thomas dan peguam kontroversi, Siti Zabedah Kassim atau Siti Kassim menari mengikut rentak lagu pada malam Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019: Keadilan Menuju Kehadapan.
Dalam pada itu, Ahmad Azam berkata, isu itu perlu dipandang serius kerana ia melanggar prinsip profesional dan etika universal.
"Wadah menolak dalih bahawa kejadian pada acara tersebut hanyalah aktivti sosial lazim atau percubaan membawa konotasi terdapat perbedaan faham resam serta keagamaan.
"Wadah kesal dengan alasan-alasan remeh dan hambar yang berikan wakil-wakil kerajaan kerana kedaulatan undang-undang, integriti dan ketelusan serta kewibaaan penjawat-penjawat tinggi undang-undang merupakan harapan dan janji serta sebab berlakunya Malaysia Baharu," katanya.
Menurutnya, berdasarkan Tertib Tatakelakuan Hakim, badan kehakiman mesti mengelakkan ketidaksopanan dan gambaran ketidaksopanan dalam semua aktiviti kehakiman.
Antaranya, seorang hakim tidak boleh membenarkan apa-apa hubungan mempengaruhi kelakuan kehakiman atau penghakimannya dan tidak boleh menggunakan prestij jawatan kehakimannya untuk memajukan kepentingan peribadinya atau orang lain.
"Seorang hakim juga tidak boleh memberikan atau membenarkan orang lain memberikan gambaran kepada mana-mana orang bahawa mereka berada dalam kedudukan yang istimewa untuk mempengaruhinya.
"Selain itu juga, seseorang hakim hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesion perundangan secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu, jika hubungan demikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah," katanya mengikut tertib tatakelakuan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!